
REMAJA OKU HILANG DITEMUI DI SUNGAI PETANI
AYER KEROH 7 April – Remaja perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang di Taman Rambai Idaman, di sini, kelmarin di temui selamat di Sungai Petani, Kedah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, remaja berusia 17 tahun itu ditemui selepas pihaknya menahan seorang peniaga lelaki yang juga pemandu sebuah Perodua Kelisa.
“Ketika ditahan hanya mangsa dan lelaki berkenaan berada dalam Perodua Kelisa terbabit. Selepas didakwa melarikan mangsa dari taman permainan suspek dikatakan membawa remaja perempuan itu ke Seremban, Negeri Sembilan; Ipoh, Perak; Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum ke kampungnya di Baling, Kedah.
“Lelaki terbabit mengatakan dia hanya membawa gadis terbabit bersiar-siar, hasil siasatan awal dilakukan mangsa dikatakan tidak mengenali suspek selain pemeriksaan fizikal luaran juga mendapati tiada sebarang kesan kecederaan ditemui,” katanya.
Menurut Christopher, mangsa sudah diserahkan kepada pihak keluarga untuk di bawa melakukan pemeriksaan lanjut di hospital.
“Difahamkan mangsa akan di bawa untuk pemeriksaan oleh keluarga pada hari ini selain suspek juga akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi permohonan reman.
“Semakan lanjut dilakukan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Jelasnya, siasatan lanjut dijalankan sejurus permohonan reman diperoleh dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Melaka Hari Ini, semalam melaporkan, seorang gadis orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran berusia 18 tahun dilaporkan hilang selepas keluar bermain di taman permainan di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai.
Kehilangan mangsa, disedari ibunya yang berusia 47 tahun pada pukul 5.30 petang selepas mendapati anak gadisnya itu masih belum pulang ke rumah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.