Remaja OKU dijumpai lemas dalam kolam
TANGKAK, 5 Oktober – Seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) lembam yang dilaporkan hilang semalam, ditemukan lemas di dalam sebuah kolam di Kampung Batu 18 Sengkang, Bukit Gambir di sini hari ini.
Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata mangsa berusia 17 tahun dijumpai terapung di kolam sedalam kira-kira 15 kaki (4.57 meter) yang terletak 100 meter dari kediaman mangsa di kampung itu, pada 6.47 pagi tadi.
“Ahli keluarga mangsa menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir memaklumkan mangsa dijumpai terapung di dalam kolam buatan manusia itu yang digunakan pekebun sayur untuk mengambil air bagi tanaman mereka.
“Pasukan Keluaran Operasi bertindak ke lokasi kejadian dan melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang lemas dengan menggunakan peralatan khas. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BBP Bukit Gambir menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada 8.42 malam tadi dan anggota membuat pencarian di sekitar kawasan rumah mangsa dan tempat berhampiran pada jarak dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.
Rafiah berkata remaja itu dan kakaknya ke kolam berkenaan pada 3.30 petang dan mereka kemudian pulang ke rumah sebelum ahli keluarga menyedari mangsa tiada di rumah pada 4.30 petang, katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.