Remaja maut rempuh belakang kereta
KLEBANG 30 Jun – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta di kawasan berhampiran Persimpangan Lampu Isyarat Klebang Utama, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, Muhammad Iqbal Harith Ramlee, 16, pelajar Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin Alor Gajah meninggal dunia di tempat kejadian akibat rempuhan itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah melalui bulatan Klebang dan menghala ke Bandar Melaka.
Katanya, pemandu kereta jenis Proton Saga juga melalui jalan yang sama dan berada di hadapan mangsa.
“Ketika pemandu kereta melepasi lampu isyarat Klebang Utama dan berada di kedudukan lorong kiri, dia melihat terdapat sekumpulan penunggang motosikal berada di belakang.
“Tidak lama kemudian, salah seorang penunggang motosikal itu memintas keretanya dan tiba-tiba, dia menerima hentaman daripada belakang oleh motosikal yang ditunggang mangsa.
“Akibat rempuhan itu, mangsa telah disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.
Christopher berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kejadian.
“Pemandu kereta pula telah dibawa ke Bahagian Kecemasan untuk diambil sampel darah bagi tujuan mengesan kandungan alkohol dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.