Sorting by

×

Remaja langgar lembu ‘ditidurkan’

Masa Membaca:54 Saat

LENDU 21 Jun – Remaja lelaki parah selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor haiwan dipercayai lembu di Jalan Lendu Rakan Muda, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa Adam Hazriq Yatim, 16, mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di zon merah Hospital Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang tidak lagi bersekolah sedang dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Masjid Tanah.

Katanya, ketika melalui lokasi iaitu jalan yang menuruni bukit, mangsa dipercayai melanggar haiwan berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa yang dirawat di zon merah hospital berkenaan kini sedang ditidurkan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup dan saksi bebas yang melihat kejadian tersebut.

Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1050
Kongsi :
Previous post Melaka Bila Larut Malam: PPSPM tambah baik produk pelancongan
Next post 19 terselamat bas jatuh gaung