Sorting by

×

Remaja jantung injap lembu rayu bantuan

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

 

TANJUNG BIDARA 3 Okt. – “Saya tak sanggup lagi melihat anak gadis kerap sakit dada dan lemah badan kesan dari pembedahan jantung menggantikan saluran injap lembu sejak empat tahun lalu,”.

Itu diluahkan Norhaslin Saleh, 41, ibu kepada pesakit jantung Nur Ain Rohaiziziee,18, yang kini bergantung hidup dengan saluran jantung biologi daripada injap lembu.

Menurutnya, boleh dikatakan seumur hidupnya anaknya itu bergantung kepada rawatan dan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana penyakit jantung kronik yang dihidapi sejak berusia lapan bulan.

Jelasnya, anaknya yang menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran injap yang sempit terpaksa berhabis sehingga puluhan ribu ringgit akibat derita yang ditanggung beberapa pembedahan di hospital berkenaan.

“Sejak Nur Ain berusia 10 bulan, pembedahan pertama telah dijalankan bagi menutup lubang pada jantungnya dan selang dua tahun berikutnya dia terpaksa menjalani pembedahan lain menggantikan injap jantungnya yang sempit kepada saluran injap tiub selama 14 tahun.

Norhaslin (kiri) meluahkan nasib yang ditimpa Norain yang kini bergantung kepada saluran injap lembu setelah menghidap penyakit jantung kronik sejak berusia lapan bulan.

“Nur Ain kini bergantung kepada saluran injap lembu selepas pembedahan penggantian injap jantung biologi dijalankan sejak empat tahun lalu,”katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannnya di Taman Bidara Permai, di sini hari ini.

Tambahnya, kaedah menggunakan injap lembu kemudiannya perlu digantikan setelah mendapati terdapat kebocoran pada tiub berkenaan membuatkan kitaran darah pada jantungnya terganggu.

“Kesan dari pembedahan itu kini kadangkala membuatkan dia berasa sakit dada dan lemah badan.

“Lebih menyedihkan, anak kini tidak layak menerima saraan daripada Surat Pengakuan Diri dan Pengakuan Pegawai (GL) suami, Rohaziziee Hamzah, 41, yang berkhidmat sebagai kakitangan awam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Terendak.

“Ini kerana setelah Nur Ain berusia 18 tahun, dia tidak layak menerima faedah itu dan kini kami terpaksa bergantung kepada simpanan sendiri dan bantuan saudara mara lain untuk mendapatkan rawatan susulan di IJN,” katanya.

Terdahulu, keluarga berkenaan telah menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bagi menyantuni keluarga terbabit dalam program Ziarah Kasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi Tanjung Bidara.

Mengulas lanjut, Norhaslin berkata malah, baru-baru ini anak sulungnya itu dimasukkan semula ke IJN bagi menjalani rawatan jantung yang memerlukan kos sekitar RM55,000

Sementara itu Nur Ain berkata, rentetan derita yang dihadapi dia terpaksa membatalkan hasrat untuk menyambung pengajian dan menghabiskan masa dengan berehat di rumah.

“Keinginan nak belajar itu memang ada tapi terpaksa lupakan sahaja sebab fikirkan keadaan kesihatan. Cita-cita nak jadi pakar jantung namun apakan daya sudah nasib ini yang menimpa saya.

“Namun apa pun saya tetap bersyukur kerana keluarga, sahabat dan saudara mara banyak membantu demi menaikkan semangat saya dalam ujian yang dihadapi,” katanya.

Sulaiman dalam pada itu berkata, beliau akan mengenalpasti bantuan yang akan disalurkan buat keluarga itu bagi meringankan bebanan yang dihadapi.

“Memang sukar masalah yang dihadapi Nur Ain dan kita akan pastikan pemantauan terus dilakukan dengan menyalurkan bantuan sewajarnya.

“Ini termasuk bantuan segera seperti kewangan yang memerlukan kos tertentu untuk merawatnya dalam tempoh tiga bulan sekali di IJN,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3020
Kongsi :
Previous post Sesi persekolahan bersemuka: Terengganu, Kelantan, Langkawi mula hari ini, Melaka bermula esok
Next post ‘Bisikan masa kau belum tiba’ kejutan pesakit COVID-19 tahap 5
Ubah saiz-+=