Remaja hari ini cerminan hari esok
Oleh Prof. Datuk Dr. Sidek Baba
REMAJA merupakan golongan penting dalam binaan masyarakat. Remaja mempunyai bakat yang perlu digilap supaya potensinya terserlah dan menyumbang kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Remaja perlukan ilmu, didikan, kemahiran dan akhlak supaya pembangunan potensinya terarah. Kalau dibiarkan bakat remaja dibentuk oleh persekitaran yang ada dengan pengaruh sosial media ianya dibimbangi watak yang santun dan matang tidak akan terbina.
Pentingnya disiplin
Menjadi remaja yang beradab disiplin fikir harus diperkasa, disiplin hati harus disuburkan dan disiplin amal jadi cernaan hati budi. Hati budi merupakan faktor penting kepada remaja kerana mengasihi ibu bapa berlaku, menyantuni jiran dan orang tua terjadi, prihatin kepada golongan miskin jadi perhatian dan membantu mereka yang susah dijadikan landasan. Jika ini terjadi dewasanya remaja dalam keadaan matang dan mempunyai jati diri yang tinggi memahami orang lain.
Hari ini kedapatan remaja yang amat terdedah dengan pengaruh luar yang tidak serasi dengan budaya tempatan apalagi Islam. Bagi mereka sesuatu yang datang dari barat adalah maju. Kebebasan yang diamalkan dalam pergaulan sering melampaui batas ketimuran dan agama. Lalu remaja yang dididik berfikir ketimuran dan beragama dianggap ketinggalan zaman dan tidak maju. Kita tidak menentang barat kerana ianya barat, tetapi pengaruh pembaratan yang harus kita waspada. Ada kemajuan sains dan teknologi dari barat yang berguna untuk remaja pelajari.
Sains dan teknologi
Ramai di kalangan kita mengganggap sains dan teknologi dianggap menjawab semua masalah kehidupan dan kemajuan. Padahal sains dan teknologi selamanya alat. Ia bukan matlamat tetapi matlamat hanya boleh dirasai sekirannya alat digunakan untuk kebaikan dan kesejahteraan sekirannya alat berpandukan etika dan nilai-nilai murni. Komputer umpamanya adalah alat. Ia boleh disalahgunakan kalau pengguna tidak mempunyai etika yang baik dan nilai penggunaan yang memberi hikmah kepada pengguna.
Hal yang sama boleh berlaku kepada media sosial yang intim kepada remaja. Program dalam ‘google’ contohnya ada yang baik dan ada yang tidak baik. Pengguna yang mempunyai etika dan nilai penggunaan yang baik boleh memilih antara keduanya supaya tidak mudah terpengaruh dengan hal-hal yang merosakkan. Apalagi kepada remaja Islam, disamping iman yang diyakini mempunyai takwa atau ‘God-conciousness’ dengan keinsafan apa saja yang digunakan sentiasa dalam pemerhatian dan ketahuan Allah.
Disiplin takwa merupakan asas penting kepada seorang remaja Muslim apalagi Mukmin supaya kawalan diri sentiasa jadi pertimbangan bila melakukan sesuatu kerana remaja harus tahu hak dan batil, salah dan benar dan dosa dan pahala.
Sikap futuristik
Remaja hari ini harus bersikap futuristik. Melihat hari depan dengan persiapan mental, fizikal dan hati budi yang matang kerana jenis cabaran yang bakal dihadapi oleh remaja tidak saja dalam bidang pemikiran tetapi juga akhlak kerana faham kebendaan yang berkembang, sikap liberal yang terdapat boleh menyebabkan penyimpangan amalan terjadi.
Oleh itu pendidikan dalam keluarga harus memberi fokus terhadap pembentukan peribadi anak-anak, pendidikan di sekolah mengukuhkan lagi pemikiran dengan ilmu yang bermanfaat dan kemahiran yang berasaskan etika yang mampu bertahan menghadapi cabaran semasa yang ingin memisahkan manusia dari pedoman agama yang betul. Remaja tanpa agama menyebabkan kekosongan pada hati untuk memandu remaja melalui jalan yang benar dan berpedoman.
Pendidikan agama
Pendekatan pendidikan agama kepada remaja khususnya remaja Melayu tidak saja dalam batas fardu ain dan ibadah khusus semata-mata tetapi harus mampu membina fikrah Islami supaya dengan Islam memberikan asas akidah yang kukuh dan cara hidup yang sempurna supaya menjadi benteng pertahanan para remaja menghadapi kerenah zaman dan perubahan supaya kemajuan dan perubahan berada dalam acuan kita sendiri.
Acuan kita sendiri berasaskan nilai budaya kita sendiri yang menjadi etika dan sitem nilai yang baik sebagai cara hidup. Dengan etika dan sistem nilai yang baik ia mengekalkan remaja berada dalam keadaan fitrah dan sebarang pertimbangan dalam pemikiran, dalam hati dan amalan berdasarkan sikap ubudiyyah atau ketaatan dan kedekatan kepada Pencipta. Jiwa takwa yang dimiliki menjadikan remaja sentiasa sedar dan insaf bahawa Pencipta itu Maha Mengetahui apa yang remaja lakukan. Ini menyebabkan remaja hidup dalam keadaan terkawal dan terpedoman.
Penulis merupakan Pensyarah Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA)