Remaja didakwa edar 15.75 kilogram dadah
Abang Danny Abang Azlan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Fuad Othman, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada pukul 9.24 malam pada 19 Julai lepas, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Aras2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguam Darren Ee.
Mahkamah menetapkan 1 Nov depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tempatan ditahan di KLIA Terminal 2 di sini pada 19 Julai lepas kerana disyaki cuba menyeludup dadah bernilai RM504,000 ke Sarawak.
Ketua Polis Daerah KLIA ACP Azman Shari’at berkata lelaki berusia 19 tahun itu ditahan selepas imbasan kotak makanan miliknya menunjukkan imej yang mencurigakan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.