Sorting by

×

Remaja bunuh suami terlepas hukuman gantung

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

MUAR, 10 April – Seorang remaja perempuan terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Muar mengarahkannya dipenjara pada satu tempoh sehingga mendapat pengampunan Sultan Johor selepas didapati bersalah membunuh suaminya, lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Awang Armadajaya Awang Mahmud membuat keputusan ke atas remaja yang kini berusia 22 tahun tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, remaja yang ketika itu berusia 17 tahun didakwa membunuh suaminya, Mohd Firdaus Md Sallehuddin, 28, di sebuah rumah di Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 14 Okt 2017.

Remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Awang Armadajaya dalam penghakimannya berkata, seseorang di bawah umur tidak boleh dikenakan hukuman mati, tetapi boleh dipenjara sehingga mendapat perkenan Sultan Johor.

“Oleh kerana pada tarikh kejadian kamu berusia 17 tahun 11 bulan dan 10 hari maka kamu ditakrifkan sebagai kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Kamu tidak boleh dijatuhkan hukuman mati. Kamu dijatuhkan hukuman di atas kehendak dan ihsan Sultan Johor sehingga satu masa yang ditetapkan. Kamu boleh merayu kepada Lembaga Pengampunan dan Sultan Johor untuk sebarang peringanan hukuman.

“Jika kamu dewasa saya terpaksa jatuhkan hukuman mati. Bersyukur kepada Allah kamu terselamat daripada hukuman mati. Saya doakan supaya kehidupan kamu selepas ini menjadi lebih baik, jadi orang bermanfaat, berguna kepada masyarakat dan keluarga. Saya sudah mendengar rayuan peguam kamu yang mana kehidupan kamu penuh dengan dukacita,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pesalah menikam suaminya menggunakan pisau pemotong sayur di bahagian dada di kediaman milik majikan suaminya yang bekerja sebagai pembantu kedai menjual ayam di sebuah pasar dan kejadian itu berlaku selepas kira-kira lima bulan mereka mendirikan rumah tangga.

Sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 2017, tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan iaitu pesalah serta bapa angkat dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod dan Mustaqim Sukarno manakala peguam Yoong How Kiat mewakili tertuduh.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

926
Kongsi :
Previous post Melaka lancar Pelan Induk M-WEZ esok
Next post MOTAC sasar pendapatan pelancongan antarabangsa cecah RM77 bilion pada 2025
Ubah saiz-+=