Sorting by

×

RELA JUAL RUMAH ASALKAN ANAK SIHAT

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KESIDANG 6 Mac – Berkira-kira untuk menjual kediaman kini menjadi tempat berteduh, antara ikhtiar akhir pasangan ini demi melihat puteri tunggal mereka sedang menderita akibat kanser sihat seperti biasa dan kembali semula ke sekolah.

Azroyhatta Md Jais, 35, berkata, puterinya Nur Sumayyah, 7, disahkan menghidap kanser saraf atau neuroblastoma selepas pemeriksaan lanjut Oktober tahun lalu dan memerlukan sebanyak RM344,844 bagi kos membeli ubat untuk merawat penyakit itu.

Katanya, meskipun angka enam digit itu terlalu besar baginya yang bekerja sebagai juruteknik, namun dia bersama isteri Shakila Silah, 36, akan berusaha sebaik mungkin demi melihat puteri mereka kembali tersenyum.

“Alhamdulillah setakat ini jumlah terkumpul hasil sumbangan orang ramai sudah mencapai RM186,000.  Syukur sangat kerana ramai yang prihatin dan tampil membantu untuk bersama-sama mencukupkan kos membeli ubat.

“Kami juga amat berterima kasih kepada individu yang sanggup melepaskan koleksi jam tangannya dan berjaya memperoleh RM7,000 lalu wang itu disumbangkan kepada kami,” katanya yang ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin di kediamannya di Pokok Mangga, hari ini.

Terdahulu, dalam kunjungan itu Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri turut menyampaikan sumbangan cek berjumlah RM23,285.33 daripada DAP Melaka.

Menurut Azroyhatta, apa yang merisaukan adalah kemungkinan mereka gagal mengumpul jumlah diperlukan untuk membeli ubat berkenaan selepas Nur Sumayyah selesai menjalani rawatan kemoterapi.

“Saya dimaklumkan ubat dipanggil Qarziba ini fungsinya adalah untuk mencegah kanser saraf daripada merebak semula dan perlu disediakan seawal September nanti,” katanya.

Bercerita lanjut Azroyhatta berkata, dia dan isteri merujuk Nur Sumayyah sebuah pusat perubatan selepas kanak-kanak itu kerap mengalami demam pada waktu malam selain sakit perut.

“Apabila dimaklumkan tentang penyakit anak, saya rasakan dunia seakan gelap. Walaupun sukar untuk diterima namun kami perlu kuat supaya anak juga kuat dan syukur alhamdulillah proses pembedahan membuang sel kanser pada 19 Februari lalu berjalan lancar dan ketumbuhan dapat dikeluarkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post DUA INDIVIDU RUGI LEBIH RM400,000 DITIPU SINDIKET PELABURAN TIDAK WUJUD
Next post JUMLAH MANGSA BANJIR DIJANGKA MENINGKAT