
Redah lumpur bantu kesan rangka motosikal
KOTA TINGGI 25 Mei – Seorang pegawai dan tujuh anggota dari Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah dua melakukan selaman bagi mengesan barang kes di Sungai Belukar Durian Kuala Sedili, Johor.
Jarak penglihatan yang terhad berikutan sungai yang berlumpur dan air warna gelap menyebabkan operasi dijalankan mencabar dan berdepan kesukaran.
Menerusi perkongsian di Facebook Pasukan Polis Marin Wilayah Dua lokasi selaman adalah berdasarkan petunjuk diberikan suspek kes terbabit.

Selepas dua kali selaman dilakukan dalam tempoh dua jam, mereka telah berjaya menemukan tiga rangka motosikal yang telah terbenam di dalam dasar sungai.
Kesemua rangka motosikal ditemui kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk tindakan Lanjut.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, Unit Selam Pasukan Polis Marin sentiasa komited dalam melakukan sebarang tugas bantuan khususnya mencari dan menyelamat (SAR) dan pengesan barang kes.
Masyarakat maritim diseru agar dapat menyalurkan sebarang maklumat terutamanya perlakuan jenayah atau bencana kepada PPM melalui talian 07-2372221 atau 07-2372222.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.