Sorting by

×

Reda pemergian menantu baik

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

LENDU 20 Mei. – Meskipun remuk redam hatinya, seorang warga emas tetap reda dengan pemergian menantunya, Idhar Mohamad, 41, yang disifatkan berpribadi baik.

“Allah pinjamkan kepada saya menantu lelaki yang baik dan hari ini saya reda pemergiannya kerana Allah lebih sayangkan arwah.

“Anak saya beritahu arwah suaminya keluar dari rumah di sebuah taman perumahan di Tehel sejurus selepas solat Subuh dan kami tidak sangka arwah meninggalkan kami buat selamanya hari ini,” kata Ibrahim Rahmat, 64.

Allahyarham Idhar Mohamad.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, motosikal Yamaha LC135 ditunggangi Idhar dikatakan terbabas ke kiri jalan di Jalan Kampung Solok Duku, dekat sini, kira-kira jam 6.20 pagi tadi.

Ibrahim berkata, arwah dalam perjalanan dari Tehel ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor berkaitan industri minyak dan gas.

“Arwah ingin berjumpa dengan anak lelaki saya yang tinggal di Lukut, Port Dickson untuk membuat kerja berkaitan industri itu tetapi tidak kesampaian kerana terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi kejadian di Jalan Kampung Solok Duku, Masjid Tanah.

Ibrahim yang tinggal di Paya Rumput bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan daripada rakan arwah kira-kira jam 7 pagi ini.

Beliau berkata, arwah meninggalkan empat anak berusia empat hingga 16 tahun dan berasal dari Kampung Sungai Rengas, Masjid Lama, Kuala Terengganu serta sudah tinggal di negeri ini sejak 20 tahun lalu.

Katanya, dia akan berbincang dengan isteri arwah yang bertugas sebagai jururawat sama ada mengebumikan jenazah di Paya Rumput atau di kampung Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, arwah dipercayai terbabas ke kiri jalan ketika melalui laluan berselekoh kira-kira jam 6.20 pagi tadi.

Katanya, siasatan mendapati ada kesan geseran pada jalan dan kesan tayar pada rumput di kiri jalan di laluan berselekoh dan menuruni bukit.

“Arwah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan jenazahnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan
Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

930
Kongsi :
Previous post UMNO, UAT kerjasama lakukan sanitasi percuma
Next post Pesawah, petani terkesan banjir disaran tampil ke depan- Norhizam
Ubah saiz-+=