Sorting by

×

REBUT PELUANG SEWA UNIT HARTANAH MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 November – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersedia menyewakan unit hartanah yang diwakafkan kepada individu atau pihak tertentu untuk diusahakan.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, selain unit rumah kedai dan kediaman, MAIM juga mempunyai tanah yang telah diwakafkan kepada pihaknya untuk diuruskan.

Katanya, aset hartanah yang diuruskan MAIM perlu direbut kerana ia terletak di lokasi strategik dan dijangka mampu menjana pulangan lumayan.

“Di kawasan Jonker Walk kita mempunyai 32 unit hartanah dan 21 daripadanya telah disewa dan diusahakan oleh penyewa sebagai kedai serbaneka, kafe, bengkel motosikal dan premis makanan.

“Manakala 11 unit lagi masih belum disewakan dan perlu dilakukan kerja ubah suai terlebih dahulu. Kita yakin dengan kedudukan premis di lokasi pelancongan seperti di Jonker Walk ini ia dapat menjana pendapatan.

“Selain di kawasan Jonker Walk, MAIM turut memiliki unit hartanah lain termasuk tanah di Taman Merdeka, Balai Panjang, Tengkera, Sungai Udang dan Sungai Petai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shaifulfazlee, menerusi sewaan unit hartanah yang diperoleh ia bukan hanya dapat digunakan untuk program kebajikan tetapi juga bagi pengurusan masjid.

“Misalnya kutipan sewa di sekitar Jonker Walk ini, ia disalurkan kepada Masjid Kampung Hulu dan Masjid Kampung Keling untuk pembiayaan pengurusan masjid kerana hartanah ini adalah wakaf masjid.

“Selain itu, untuk unit hartanah lain, sewaan yang diperoleh akan digunakan untuk program-program lain termasuklah kebajikan,” katanya.

Shaifulfazlee berkata, mereka yang berminat atau ingin mendapat maklumat mengenai unit hartanah wakaf yang diuruskan MAIM boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Hartanah MAIM.

“Kami mempelawa semua pihak yang berminat untuk melihat premis atau hartanah yang kami uruskan dan yang pastinya tawaran istimewa akan diberikan.

“Antara yang akan kita tawarkan adalah tawaran pengecualian sewaan bulanan dan pengurangan kadar sewa bulanan mengikut kesesuaian yang mana ia akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post PELAN PEMBANGUNAN DATA RAYA 2035 BAKAL DILANCARKAN DI MELAKA
Next post KIPMALL MELAKA KOMITED LAKSANA ESG
Ubah saiz-+=