Sorting by

×

Rebut peluang nikmati keindahan Sungai Linggi secara percuma

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER LIMAU 21 Disember – Penduduk Melaka dan pelancong berpeluang untuk merasai pengalaman menyusuri Sungai Linggi, menerusi Eco-Cruise Sungai Linggi secara percuma sebelum operasinya secara rasmi bermula pada 5 Januari depan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran menaiki Eco-Cruise Sungai Linggi percuma itu bertujuan memberi peluang kepada orang tempatan khusus penduduk berhampiran merasai pengalaman menikmati keindahan sepanjang sungai berkenaan dalam suasana berbeza.

“Selepas menyelurusi sungai dengan menaiki Eco-Cruise Sungai Linggi memakan masa pergi dan balik hampir tiga jam pastinya mereka akan kongsi pengalaman unik itu bersama rakan atau kenalan.

“Ini secara tidak langsung menjadi satu bentuk hebahan dalam usaha kita mempromosikan perkhidmatan terbaharu yang juga sebahagian daripad produk ekopelancongan di kawasan ini.

“Eco-cruise bermula dari Jeti Paya Lebar sehingga ke Taman Lokan. Pengunjung juga berpeluang mengunjungi Sabak Arang yang merupakan tempat pembuatan arang kayu yang berusia kira-kira 100 tahun,” katanya.

Photo 2023 12 21 14 28 57
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Eco-Cruise Sungai Linggi di Jeti Eco Tourism Paya Lebar, Batu 24, Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Eco-Cruise Sungai Linggi Dan Restoran Terapung Sungai Linggi Di Jeti Eco Tourism Paya Lebar, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, butiran lanjut mengenai perkhidmatn percuma Eco-Cruise Sungai Linggi akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Mengikut perancangan Eco-Cruise Sungai Linggi akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Setakat ini dua bot mampu menampung kapasiti 20 penumpang bagi setiap kali pelayan disediakan,” katanya.

Menurutnya, selain perkhidmatan bot menyusuri Sungai Linggi, produk Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu turut menyediakan ‘camper park’ bagi pemilik caravan dan tapak ‘glamping’ bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak.

“Sungai ini kaya dengan flora dan fauna, malah menjadi habitat kepada tidak kurang 1,400 ekor buaya, pada sebelah malam pelawat boleh meluangkan masa melihat kelip-kelip,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7702
Kongsi :
Previous post PPDK capai aras lebih baik, diterima ramai
Next post Dua remaja antara tiga direman subahat kes culik kanak-kanak
Ubah saiz-+=