REBAT HINGGA 2027 TARIK MINAT SYARIKAT PENERBANGAN BEROPERASI DI LTAM
SERI NEGERI 30 Disember – Inisiatif Network Development Programme (NDP) yang bakal dilancarkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bakal merancakkan lagi operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program itu bakal menawarkan rebat kepada syarikat penerbangan bermula 1 Januari 2025 hingga Disember 2027.
Jelas beliau, antara yang ditawarkan NDP adalah pengecualian caj pendaratan, rebat kenaikan bilangan penumpang dan sokongan pemasaran kepada syarikat penerbangan yang ingin memulakan operasi ke destinasi antarabangsa baharu di mana-mana lapangan terbang di bawah kendalian MAHB, termasuk LTAM.
“Ini sekali gus berpotensi untuk menarik minat syarikat-syarikat penerbangan untuk beroperasi di LTAM serta merancakkan lagi ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Hameed, bagi merancakkan lagi LTAM, Kerajaan Negeri turut mempromosikan lapangan terbang itu menerusi penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) secara tahunan dengan kerjasama pelbagai agensi.
Jelas beliau, KUAM 2024 yang dianjurkan 31 Oktober hingga 3 November lalu telah menarik 83,877 pengunjung dan hasil jualan tiket sebanyak RM171,420.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.