Sorting by

×

Rebat bil air percuma kepada mangsa banjir Masjid Tanah dan Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 16 Ogos – Kerajaan Negeri atas dasar prihatin bersetuju memberi bantuan khas dalam bentuk rebat air percuma bagi bulan Ogos bertujuan meringankan beban semua mangsa banjir di Parlimen Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rebat air percuma bakal memanfaatkan 3,521 akaun pengguna Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di kawasan terjejas banjir.

Katanya, bagi mendapat rebat berkenaan mangsa perlu membuat permohonan kepada SAMB dan mengemukakan bersama salinan laporan polis atau pengesahan bahawa premis mereka terjejas akibat banjir daripada agensi berkenaan.

“Inisiatif rebat air percuma satu bulan membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM177,453.50. Kerajaan Negeri mengharapkan usaha ini dapat meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir,” katanya pada sidang media khas di Bilik Bijasura di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata banjir 11 Ogos lalu menjejaskan lebih 6,000 mangsa dan 1,500 isi rumah di Parlimen Masjid Tanah serta Alor Gajah.

Jelasnya, bagi meringankan beban mangsa kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan sebanyak RM300 menggunakan Tabung Bencana Negeri Melaka kepada semua mangsa yang berdaftar dengan anggaran impilkasi kewangan sebanyak RM510,000.

“Selain itu Pejabat Ketua Menteri Melaka juga telah mengagihkan lebih 1,500 kit makanan kepada semua mangsa tersebut,” katanya.

Dalam pada itu Ab Rauf turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi dan pihak terbabit yang terlibat dalam kerja-kerja pengagihan sumbangan kepada mangsa banjir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

146
Kongsi :
Previous post Suspek bunuh Cikgu Istiqomah dituduh Isnin
Next post Pemain bola sepak tular tunjuk kerambit dipenjara 14 hari
Ubah saiz-+=