Sorting by

×

REALISASI IMPIAN ANAK MUDA LEBARKAN PERNIAGAAN BAULU MACHAP JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MACHAP JAYA 1 April – Bantuan peralatan membuat kuih antara yang akan diusahakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem bagi membantu seorang remaja lelaki bersama abang sepupunya yang kini mengambil alih perniagaan kuih baulu warisan keluarga.

Hee Sem berkata, bantuan peralatan itu dilihat penting bagi memastikan dua saudara itu dapat mengembangkan lagi perusahaan kuih tradisional berkenaan yang sebelum ini diusahakan oleh ayah kepada Muhammad Najmi Amzairy, 18.

Katanya, selepas pemergian ayah remaja berkenaan perniagaan kuih baulu itu terhenti seketika sebelum abang sepupunya Arif Fadhilah Othman, 28, kembali meneruskan perusahaan terbabit.

Ujarnya, bantuan itu akan cuba diusahakan pihaknya memandangkan kedua mereka ada menyuarakan hasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan termasuklah mempelbagaikan rasa kuih baulu berbanding hanya rasa asli yang diperkenalkan sekarang.

“Selepas tamat sekolah kini Muhammad Najmi bersama-sama Arif Fadhilah bertungkus lumus memajukan kembali perniagaan kuih baulu dikenali ‘Bahulu Nenda’ ini.

“Menariknya jarang kita lihat anak muda yang usahakan kuih tradisional seperti ini malah melihat kepada kesungguhan mereka berdua saya yakin perniagaan kuih baulu ini boleh dibesarkan lagi.

“Justeru itu, saya akan cuba membantu mereka ini termasuk memohon bantuan mendapatkan peralatan diperlukan, selain saya juga ada menghulur sumbangan wang tunai supaya mereka dapat gunakan sebagai modal,” katanya.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, perusahaan kuih tradisional khususnya dalam kalangan orang muda perlu diperluaskan bagi memastikan warisan itu dapat diteruskan.

“Malah apabila ada perusahaan seperti ini juga ia secara tidak langsung akan membantu mempromosikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

“Kerana kita mahukan apabila pelancong datang ke Melaka mereka juga akan singgah ke DUN Machap Jaya dan ia secara tidak langsung dapat memberi limpahan rezeki kepada penduduk yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

806
Kongsi :
Previous post KACAU DODOL SEKAMPUNG DURIAN TUNGGAL LUAR BIASA MERIAH
Next post PERTAHAN WARISAN KUIH LIDAH BUAYA