Sorting by

×

Raya tetap raya!

Masa Membaca:2 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 7 Mei – Walaupun suasana raya tahun ini tampak suram apabila kerajaan mengenakan sekatan rentas negeri, selain hanya membenarkan sesi ziarah pada 1 hingga 3 Syawal sahaja, ia bukan penghalang rakyat Melaka berbelanja sakan di saat akhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Bazar Aidilfitri Dataran MITC, di sini mendapati orang ramai sanggup beratur panjang usai berbuka puasa dan suasana itu berlarutan hingga ke tengah malam.

ORANG ramai sanggup beratur panjang dengan mematuhi SOP penjarakan fizikal ketika berkunjung di Bazar Aidilfitri di MITC hingga tengah malam.

Seorang pengunjung, Muhamad Zahir Kassim, 28, yang ditemui MHI berkata, meskipun menyedari raya tahun ini seakan sama seperti tahun lalu, dia tetap tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah segala persiapan raya di bazar berkenaan memandangkan ini tahun pertamanya bergelar suami.

MUHAMAD Zahir.

Katanya, persiapan dilakukan termasuklah membeli baju raya buatnya bersama isteri, selain turut membeli biskut raya dan pelbagai kelengkapan lain.

“Persiapan itu tetap ada tetapi secara kecil-kecilan. Lagipun, berbanding tahun lalu, kali ini saya berpuas hati juga kerana dapat sedikit merasai suasana raya apabila bazar-bazar dibuka dan kita boleh membeli barang secara terus mengikut apa yang kita inginkan berbanding beli secara dalam talian.

“Macam saya, tahun ini saya akan beraya di rumah mentua di Bukit Baru dan suasana raya masih lagi meriah kerana kejiranan kami tetap mengimarahkan sambutan raya dengan memasang pelita dan saling bertukar-tukar biskut raya memandangkan semuanya tidak dapat balik ke kampung,” katanya.

Bagi Shamsul Amin Abdul Aziz, 42, pula, walaupun terpaksa akur dia dan isteri tidak dapat beraya kerana tuntutan kerja sebagai pekerja sektor kesihatan, namun, dia tetap memilih untuk membeli-belah persiapan raya di saat-saat akhir demi menceriakan anak-anaknya.

“Ikutkan memang risau membawa anak-anak ke tempat awam seperti ini, tetapi mereka juga ingin merasai suasana raya itu, yang penting ialah patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Macam saya dan isteri, setiap tahun sudah terbiasa tidak dapat beraya kerana perlu bekerja, tapi demi anak-anak, kami perlu juga lakukan sesuatu untuk gembirakan mereka,” katanya yang turut berkongsi kesedihan tidak dapat beraya bersama bapanya di Batu Pahat, Johor.

MASTURA bersama suami mencuci mata di Bazar Dataran MITC.

Sementara itu, Mastura Daud, 38, pula memilih untuk mencuci mata di bazar berkenaan bagi meredakan kesedihan tidak dapat menyambut raya bersama sanak saudara yang tinggal di Kedah.

Dia yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Batu Berendam berkata, kebiasaan, semua saudara-mara akan berkumpul di kampungnya di Krubong, namun disebabkan larang rentas negeri, dia hanya dapat menyambut raya bersama suami, anak-anak dan ibunya sahaja pada tahun ini.

“Ini masuk tahun kedua raya yang agak suram. Tetapi walau macam mana pun, raya tetap raya. Kami masih buat persiapan raya seperti biasa cuma bezanya, raya kali ini hanya di rumah sahajalah tanpa melakukan aktiviti ziarah,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post Zainal belum sedia undur diri
Next post Raya dalam ‘kurungan’
Ubah saiz-+=