
RAYA MERIAH, HARMONI DI KLEBANG
KLEBANG 13 April – Walaupun berlangsung dalam cuaca hujan lebat, Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di perkarangan Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, tetap berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, tradisi rumah terbuka itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim di antara masyarakat, bahkan ia juga berupaya meningkatkan indeks keharmonian rakyat Melaka.
“Saya melihat tradisi rumah terbuka ini sebagai satu platform yang sangat baik di mana rakyat berbilang kaum, berlainan latar belakang semuanya bersama bagi berkongsi kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini juga menjadi medan dalam memperkukuhkan perpaduan di antara kaum dengan memupuk persefahaman dalam suasana cukup harmoni,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada majlis berkenaan.
Terdahulu, majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ban Hong, buat pertama kalinya sambutan rumah terbuka itu diadakan di perkarangan masjid dalam DUN Klebang dan beliau menyifatkan pemilihan lokasi tersebut amat strategik dan memberi lebih keselesaan kepada tetamu.
“Saya mengambil kira semua pandangan sebelum ini, di mana apabila kita menganjurkan rumah terbuka di Japerun Klebang dan sekolah masalah parkir dan kesesakan lalu lintas sering berlaku.
“Jadi, emandangkan saya telah beberapa kali dijemput menghadiri program di masjid ini, saya melihat ia amat strategik kerana mempunyai kawasan parkir yang luas dan banyak, selain ada dewan terbuka yang sangat selesa untuk tetamu.
“Sebagai wakil rakyat, saya mahu aspek keselesaan dalam apa jua program diberi keutamaan dalam memastikan majlis yang dirancang berlangsung dalam suasana meriah dan harmoni,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.