
‘RAYA DULU-DULU’ TEMA RUMAH TERBUKA AGENSI AGAMA ISLAM MELAKA
PENGKALAN BATU 23 April – Menjelang Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Agama Islam Negeri Melaka Tahun 1446H/2025 yang akan berlangsung esok (Khamis) kesemua agensi giat melakukan persiapan bagi memastikan kelancaran perjalanan majlis.
Bertempat di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, kesemua khemah setiap agensi yang terlibat antaranya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Zakat Melaka sudah siap didirikan.
Bertemakan ‘raya dulu-dulu’ atau klasik, kakitangan setiap agensi terlibat mula menghiaskan khemah masing-masing dengan kreativiti dan idea tersendiri.
Tinjauan Melaka Hari Ini di tapak penganjuran majlis mendapati kerja-kerja pemasangan khemah utama dan susun atur kerusi serta meja giat dilakukan oleh kontraktor yang dilantik.

Malah, difahamkan kerja-kerja persiapan akhir oleh kesemua 11 agensi agama ini akan berlangsung pada sebelah malam.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan bermula jam 10 pagi esok, akan menghidangkan lebih 25 jenis juadah kepada tetamu yang hadir.
Selain itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman dijadualkan akan hadir bagi menyerikan lagi sambutan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.