Sorting by

×

Raya dalam ‘kurungan’

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

“KOSONG dan suram. Itu suasana yang dapat disimpulkan apabila penulis menjejakkan kaki buat kali pertama ke Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin.

Hanya kawat-kawat duri dan sekumpulan petugas keselamatan menjemput kehadiran penulis ke sini.

Sedang kebanyakan kampung sedang sibuk bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan bagi menyambut raya, namun di kampung berkapasiti 160 rumah kediaman yang menempatkan kira-kira 600 penduduk ini seakan tiada apa.

Dari kejauhan, tiada kelibat kanak-kanak berlari riang, begitu juga ibu bapa yang sibuk menyusun atur rumah bersempena raya.

KAMPUNG Permatang Tulang, Sebatu, Jasin menjadi kawasan komuniti pertama di Melaka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19. Foto: MR. Azli

Tinjauan penulia mendapati, kesemua pintu masuk termasuk enam jalan tikus di kampung ini sudah ditutup dengan pagar kawat dan briket simen.

Ia bagi mengelakkan ada dalam kalangan penduduk cuba keluar mahupun membenarkan kemasukan orang luar sepanjang tempoh 14 hari sehingga 20 Mei depan.

Walaupun perit, semua itu terpaksa dilakukan bagi mengurangkan risiko jangkitan berikutan difahamkan terdapat lebih 50 penduduk di kawasan berkenaan disahkan positif COVID-19 sejak Kluster berkenaan mula dikesan pada 1 Mei lalu.

Keputusan itu juga menyaksikan kesemua penduduk yang terlibat tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mungkin boleh disifatkan kali pertama berlaku dalam sejarah.

Jika beraya sekalipun, mungkin ibarat beraya dalam ‘kurungan’ tanpa kunjungan sanak-saudara, mahupun sahabat-handai di pagi raya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Sebatu, Dr Ahmad Fauzi Abu memberitahu penulis semua penduduk kampung memberikan kerjasama baik terhadap pelaksanaan PKPD di kawasan itu walaupun jauh di sudut hati mereka mungkin ada yang sedih dan berdepan tekanan tidak dapat beraya seperti kebiasaan.

Dalam usaha meredakan tekanan pihaknya sudah mengagihkan bantuan kit makanan kering yang disumbangkan wakil rakyat serta dijangka akan ada lagi sumbangan lain daripada agensi kerajaan akan disalurkan.

Namun pihaknya masih mengalu-alukan jika ada orang perseorangan mahupun badan korporat yang ingin membantu tidak kiralah sama ada makanan untuk hari raya atau bentuk-bentuk bantuan lain.

Beliau turut berharap semua penduduk yang terkesan tabah menghadapi dugaan Aidilfitri dan mendoakan agar wabak ini segera berakhir bukan sahaja di Melaka, bahkan di bumi Malaysia.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang membantu termasuk petugas keselamatan dan agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha mengawal wabak ini.”

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1015
Kongsi :
Previous post Raya tetap raya!
Next post Konstabel baru pindah Sibu mati ditembak rakan sendiri
Ubah saiz-+=