
RAYA AGENSI AGAMA ISLAM MELAKA MERIAH MACAM DULU-DULU
PENGKALAN BATU 24 April – Bagai mengembalikan nostalgia raya dulu-dulu, itu suasana kemeriahan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Agama Islam Negeri Melaka Tahun 1446H / 2025M di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, di sini, hari ini.
Majlis itu bukan sahaja dimeriahkan kehadiran ribuan masyarakat berbilang kaum, bahkan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sebanyak 11 agensi agama Islam Melaka terlibat menjayakan dan menyajikan makanan secara percuma kepada tetamu yang hadir.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), sejak bermula pada jam 11 pagi, dianggarkan lebih 3,000 tetamu memeriahkan majlis tersebut yang diadakan secara tahunan itu.
“Menerusi program ini, tujuan utama kita adalah untuk memupuk kebersamaan dan mengeratkan ikatan silaturahim di antara agensi agama dengan orang ramai.
“Alhamdulillah setiap tahun sambutan yang diterima pada setiap tahun cukup meriah,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu; ketua-ketua agensi agama Islam Negeri Melaka serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, Shaifulfazlee memaklumkan, tema ‘Raya Dulu-Dulu’ dipilih pada sambutan kali ini bagi menambah kemeriahan sambutan hari raya seakan suasana di kampung-kampung.
Katanya, selain masyarakat sekitar, majlis itu turut meraikan golongan-golongan asnaf dan mualaf di bawah MAIM.
“Mewakili MAIM dan pelbagai agensi agama lain, kami merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan lagi sambutan tahun ini,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.