Rawatan kesihatan percuma di Kampung Alai

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TELOK MAS 28 Okt – Putra Specialist Hospital Melaka menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni masyarakat Kampung Alai bagi mendekati penduduk luar bandar mengenai pentingnya menjaga kesihatan diri.

Program itu diadakan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Melaka (MOTAC) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wira Radhuana Salleh berkata, selain memfokuskan penduduk di kawasan luar bandar, pihaknya juga akan turun padang ke kawasan pinggir bandar serta rakyat yang kurang berkemampuan untuk melakukan pemeriksaan tersebut.

Katanya, pada masa sama pihaknya turut membantu kerajaan negeri meuar-uarkan mengenai kepentingan vaksinasi COVID-19 kepada individu yang belum menerima suntikan itu.

“Kita sedia maklum mengenai pandemik ini, mereka tidak digalakkan ke hospital, jadi sekarang ini kita turun padang bagi memastikan mereka mendapat penjagaan kesihatan yang baik .

“Di samping itu kita juga memastikan semua orang dapat vaksin dan apabila kita buat program seumpama ini, kita maklumkan mengenai vaksinasi.

“Ini salah satu cara untuk kita pastikan semua rakyat Melaka sihat kerana kita negeri pelancongan dan kita nak bantu negeri ini lebih maju terutamanya untuk peniaga-peniaga kecil ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jom Sihat anjuran Putra Specialist Hospital Melaka di Balai Raya Kampung Baruh, Alai, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelawat Putra Specialist Hospital Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Sementara itu, Akramuddin berkata program tersebut turut memudahkan masyarakat kampung mendapatkan kemudahan akses pusat sehenti penjagaan kesihatan selain memperkenalkan kepada penduduk kampung mengenai keistimewaan hospital swasta itu.

“Kita tengok kebanyakkan penduduk kampung sudah memiliki insurans peribadi, maka dengan itu saya memohon kerjasama mereka untuk memilih hospital terbaik, contohnya Putra Specialist Hospital ini.

“Program begini harus kita adakan lagi, masyarakat kampung bukan senang nak pergi ke sesuatu tempat, jadi kalau kita adakan satu One Stop Center (OSC), maka mereka akan datang ke sini dan mendapat manfaatnya,” katanya.

Terdahulu, seramai kira-kira 30 penduduk kampung mendapatkan rawatan secara percuma dan murid Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) JAIM turut diajar mengenai cara membersihkan tangan dengan betul.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1336
Kongsi :
Previous post Lukisan mural beri imej baharu Bandar Jasin
Next post PRN Melaka : Parti politik ubah strategi kempen, manfaat media sosial
Ubah saiz-+=