Sorting by

×

Rauf nafi campur tangan urusan kerajaan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

MASJID TANAH 6 Okt. – “Saya secara peribadi tidak pernah campur tangan urusan harian kerajaan negeri, saya hormati kerajaan negeri kerana saya tahu peranan saya sebagai pengerusi perhubungan yang menjaga hal ehwal politik negeri.”

Itu penjelasan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Ab Yusoh ketika ditanya mengenai dakwaan beliau campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti dibangkitkan bekas ADUN Sungai Udang Datuk Seri Utama Idris Haron.

“Saya memang punyai hubungan yang baik dengan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, dan menghormati kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri dan saya tidak pernah campur tangan dalam mana-mana urusan.

“Urusan-urusan kerajaan ini diuruskan oleh seorang Ketua Menteri dan barisan Exconya yang telah mengangkat sumpah simpan rahsia dan taat setia kepada negeri.

“Saya bertanggungjawab sebagai seorang pengerusi perhubungan yang secara rasminya dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan Biro Politik Melaka di kediamannya di Masjid Tanah, lewat malam tadi.

Jelasnya, Idris perlu memahami perjalanan kerajaan negeri kerana beliau sendiri pernah menjadi Ketua Menteri suatu ketika dahulu.

“Saya sarankan bahawa bekas Ketua Menteri ini mestilah faham perjalanan kerajaan negeri yang pernah beliau terajui dan bagaimana keputusan-keputusan mesyuarat Exco itu dibuat.

“Sama ada semua keputusan itu tertangguh sebab campur tangan saya ataupun diluluskan dalam mesyuarat-mesyuarat kerajaan negeri yang berjalan selama 19 bulan,” katanya.

Tambahnya, jika Idris tidak berpuas hati dengan kerajaan yang diterajui Sulaiman selama 19 bulan, ia mestilah disuarakan dalam tempoh tersebut.

“Kenapa pula beliau membuat gerakan untuk runtuhkan kerajaan negeri dan bekerjasama dengan parti-parti yang telah menerajui negeri dulu?

“Isu sebenarnya beliau berhasrat untuk jadi Ketua Menteri semula, apabila hasrat itu tidak tercapai, maka mengalihkan pandangan dalam satu tohmahan.

“Ini tidak menunjukkan nilai keperibadian sebagai seorang yang pernah menerajui kerajaan negeri,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

387
Kongsi :
Previous post PH akan rujuk undang-undang masa terdekat ini- Adly
Next post UMNO sedia berunding dengan Bersatu, kata Rauf
Ubah saiz-+=