Rauf nafi ‘abai’ Nor Azman ketika dijangkiti COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 28 Okt- “Saya ada bukti yang saya ada hubungi Nor Azman pada 21 September lalu untuk bertanya khabar, selain mengirim ubat melalui pegawai khas beliau,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang dilemparkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang mengatakan dirinya diabaikan kerajaan negeri dan parti apabila dijangkiti COVID-19, bulan lalu.

Ab Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) menyifatkan kenyataan dari Nor Azman sebagai hipokrit dan hanya mahu mencari perhatian.

“Saya ada hubungi beliau pada 21 September lalu untuk bertanya khabar dan menasihatkannya supaya lebih banyak berehat sehingga pulih daripada jangkitan itu.

“Malah, saya ada membeli ubat untuk beliau dan dikirimkan kepada pegawai khasnya. Saya ada bukti bergambar dan kenyataan beliau yang menuduh kita tidak pedulikannya adalah sebagai `penipuan yang tidak adil’ kepada saya selaku pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka.

“Saya harap beliau tidak menjadi hipokrit semata-mata mahu mendapatkan perhatian di media,” katanya.

Kelmarin, Nor Azman mendakwa pemimpin BN dan Perikatan Nasional (PN) Melaka tidak prihatin terhadap dirinya ketika menghadapi masalah akibat jangkitan COVID-19, bulan lalu.

Beliau dijangkiti wabak terbabit pada 13 September lalu sebelum menjalani kuarantin kendiri tetapi terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Melaka pada 22 September selepas mengalami muntah dan pening.

Oksigen dalam badannya juga dikatakan turun hingga bawah 80 peratus dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post Deepavali: Hanya individu lengkap vaksin dibenar sembahyang di rumah ibadat
Next post MT UMNO malam ini bincang isu kerjasama PRN Melaka
Ubah saiz-+=