Rasuah: Bekas penolong jurutera dipenjara 14 tahun
MELAKA 23 Okt. – Seorang bekas penolong jurutera di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, Johor dipenjara 14 tahun dan denda RM341,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana menerima rasuah.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Hairudin Ngadiron, 45, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap enam pertuduhan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada bekas penjawat awam itu.
Hakim Mohd Nasir bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak selain tambahan enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan.
Terdahulu, Hairudin dituduh menerima suapan dalam bentuk barangan membaiki rumah seperti besi bumbung, atap genting, kayu anjung, jubin dan pintu rumah serta membaiki kereta berjumlah RM65,886.72 dari Januari hingga April 2017.
Dia dituduh menerima suapan sebagai upah membantu mendapatkan kerja-kerja di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar iaitu pembaikan bangunan dan pagar keselamatan di pondok pengawal, kerja-kerja pembaikan lapang sasar semi indoor 25 meter dan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan kolam renang dan kolam junam di kompleks sukan maktab berkenaan pada 2016.
Hairudin dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Sementara itu, peguam tertuduh, Mohd Razak Syarif dalam rayuannya memohon agar mahkamah memberikan hukuman yang ringan terhadap tertuduh memandangkan ia merupakan kesalahan pertama Hairudin selain tertuduh kini bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM900 sebulan bagi menyara tiga anak yang berusia 9 hingga 17 tahun.
“Saya juga merayu agar hukuman terhadap defendan dapat ditangguhkan agar pihak pembelaan dapat memfailkan notis rayuan supaya kes berkenaan dapat didengar di Mahkamah Tinggi Melaka,” katanya.
Bagaimanapun, SPRM yang diwakili dua Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong dan Norsyarina Raizan dalam hujahnya berpendapat tertuduh perlu diberikan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran kepadanya serta masyarakat, selain impak rasuah terhadap ekonomi negara dan hukuman perlu dilakukan segera tanpa penangguhan kerana tertuduh tidak mengemukakan sebab istimewa.
Hakim Mohd Nasir bagaimanapun membenarkan tertuduh menangguhkan hukuman dengan mengemukakan notis rayuan kepada Mahkamah Tinggi dalam tempoh tujuh hari serta menaikkan ikat jamin kepada RM50,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa selain melaporkan diri ke Pejabat SPRM sebulan sekali.
Pihak pendakwaan mengemukakan seramai 46 saksi manakala tiga saksi dikemukakan pihak pembelaan sejak kes berkenaan mula dibicarakan di mahkamah pada Mei 2019.
— BERNAMA