Sorting by

×

Rasai suasana kampung tunggu, kutip durian

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BEMBAN 12 Ogos – Pengalaman menunggu dan mengutip buah durian gugur antara pengalaman boleh dirasai pengunjung singgah ke Dusun Tok Wa di Bemban, Jasin, di sini.

Menghabiskan masa bersama-sama dan menikmati durian segar gugur dari pohon pastinya mampu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan selain mengelakkan anak-anak daripada terus leka bermain gajet.

Pemilik dusun, Senawi Yusoff, 84, berkata, dengan 160 batang pokok, membabitkan 12 jenis durian, kawasan seluas 2.43 hektar itu pastinya memberikan pengalaman berbeza berbanding membeli raja buah dijual peniaga di tepi jalan.

Bagi memastikan keselesaan Senwi turut menyediakan tempat berehat kepada pengunjung yang menunggu buah durian gugur.

Menurut Senawi, biarpun sudah bergelar warga emas, namun dia bersyukur segala penat lelahnya berbakti kepada tanah di dusun itu sejak 20 tahun lalu membuahkan hasil.

TOKWA 5
SENAWI dan Rozaini menunjukkan durian yang di dusun mereka. Foto MR AZLI

“Saya beli tanah ini tahun 1996, awalnya mahu menanam kelapa sawit tetapi terdapat kekangan, jadi saya usahakan tanaman pokok durian dan alhamdulillah sampai sekarang buah di dusun ini lebat membawa hasil yang lumayan.

“Bila sudah berhasil saya minta bantuan anak nombor dua sambung usahakan dusun ini kerana faktor usia yang tidak mengizinkan.

“Sekarang saya gembira melihat orang ramai datang ke dusun ini dan menikmati hasil tangan yang saya usahakan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Anak kelahiran Perlis ini berkata, dusun ‘Tok Wa’ dipilih kerana ia adalah gelaran bagi dirinya sebagai anak sulung di negeri kelahirannya.

TOKWA 9
DURIAN yang menunggu masa untuk gugur. Foto MR AZLI

Sementara itu, Rozaimi Senawi, 55, bersyukur kerana diberi peluang untuk membantu meneruskan perniagaan dusun durian bapanya.

“Asalnya dusun ini diusahakan oleh bapa, tetapi bila dia sudah uzur saya ambil alih insya-Allah bulan Julai dan Ogos lebih banyak buah durian yang gugur.

“Kita mahu beri orang ramai pengalaman makan di dusun, harga juga murah sedikit berbanding tempat lain sebab kita jual berdasarkan buah yang gugur.

“Walaupun permintaan tinggi, kita cuba usahakan agar semua pelanggan yang datang dapat nikmati raja buah ini di dalam dusun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2619
Kongsi :
Previous post Prestasi negeri ditadbir PH-BN amat baik – PM Anwar
Next post Hayati erti kemerdekaan, kebebasan yang sebenar
Ubah saiz-+=