Rasai pengalaman menuai di laman jentera MAHA 2022!
SERDANG, 7 Ogos – Buat kali pertama, simulasi menuai padi akan ditonjolkan sebagai tarikan baharu di Laman Jentera pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bermula esok hingga 14 Ogos ini.
Pengarah Bahagian Kejuruteraan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Zaipudin Mohamad berkata simulasi menggunakan Simulator Combine Harvestor itu disediakan bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman menuai padi di sawah dengan mengoperasikan mesin jentuai.
“Seakan simulasi penerbangan, simulasi ini memberikan pengalaman secara maya kepada pengunjung untuk mengoperasikan mesin jentuai di sawah berbanding pendekatan pergi sendiri ke tempat sebenar (sawah) tetapi tiada kemahiran untuk membawa mesin tersebut.
“Di sini kita ada pengajar yang akan mengajar cara-cara mengoperasikan mesin malah hasil tuaian yang kita peroleh juga akan dipaparkan pada skrin besar simulator, seolah-olah kita memang sedang berada di sawah untuk menuai padi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Selain tarikan itu, Zaipudin berkata pihaknya turut akan mempamer tujuh jentera klasik di Muzium Mini Jentera bagi membolehkan pengunjung mengenali secara lebih dekat peralatan pertanian yang digunakan petani pada era antara 1905 hingga 1957.
Antara peralatan itu ialah Bajak Pahat dan traktor Field Marshall (model K4462) yang masing-masing dibeli oleh Jabatan Pertanian pada 1905 dan 1952 untuk melaksanakan kerja-kerja pembukaan kawasan baharu daripada kawasan hutan dara menjadi projek pertanian.
“Peralatan Bajak Pahat dioperasikan dengan cara ditarik oleh traktor berkuasa 100hp 4WD ke atas atau bulldozer, berfungsi mengeluarkan batu dan tunggul kayu serta memecah dan melonggarkan tanah yang keras dan kering sebelum penggunaan alat pembajakan biasa.
“Traktor Field Marshall pula diguna untuk membajak dan dikeluarkan oleh syarikat Marshall, Sons & Co. of Gainsborough, Lincolnshire United Kingdom dari 1945 hingga 1957,” katanya.
Zaipudin berkata secara keseluruhan, terdapat 40 pempamer dan 15 agensi kerajaan akan memperkenalkan produk masing-masing di Laman Jentera dengan sasaran menarik lebih 300,000 pengunjung.
“Pada edisi MAHA 2018 yang lepas, laman ini berjaya merekodkan RM1.8 juta nilai jualan menerusi penjualan pelbagai peralatan pertanian khususnya jentuai mini. Oleh itu, sudah tentu kami mengharapkan perkara yang sama tahun ini atau lebih baik,” katanya.
Laman Jentera adalah satu daripada lapan laman pertanian selain Laman Perikanan, Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Herba dan Sayur, Laman Buah-Buahan, Laman Nanas, dan Laman Florikultur yang mewarnai MAHA 2022 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.