Raptai Sambutan Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu curi perhatian
BANDARAYA MELAKA 20 Februari – Ribuan pengunjung termasuk pelancong asing memenuhi Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di Banda Hilir, bagi menyaksikan raptai Sambutan Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, yang akan berlangsung malam ini.
Persembahan teater muzikal bertajuk ‘Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Bina Negara Baharu’ itu nyata memukau pengunjung yang hadir.
Turut hadir menyaksikan raptai sambutan adalah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam.
Teater sejarah itu mengimbau kembali peristiwa kepulangan rombongan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di Banda Hilir pada 20 Februari 1956.
Selain jalan ceritanya yang mengimbau sejarah bagaimana negara memperoleh kemerdekaan, barisan penggerak teater yang dibintangi beberapa nama tersohor juga membuatkan pengunjung teruja untuk menyaksikan persembahan.
Antaranya, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar sebagai pencerita dan pelakon Ashraf Muslim sebagai pengasas UMNO iaitu Datuk Onn Jaafar.
Sementara itu, sambutan yang akan berlangsung pada esok ini akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau akan membaca Lafaz serta Menandatangani Watikah Kemerdekaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.