Sorting by

×

RAPATKAN JURANG DIGITAL PENDUDUK KAMPUNG

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

RIM 20 April – Pembinaan menara telekomunikasi baharu sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim akan merapatkan lagi jurang digital dan memastikan rakyat setempat dapat menikmati kemudahan komunikasi setanding dengan penduduk di bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila Mukim Rim berada antara 10 lokasi strategik disenaraikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi menggunakan Multi Operator Core Network (MOCN).

“Dengan siap sepenuhnya menara di Ladang Diamond Jubilee ini ia bukan hanya memberi manfaat kepada lebih 200 pekerja dan penduduk sekitar, pengguna jalan raya di melalui DUN Rim serta mereka tinggal di Kampung Bukit Katong.

“Dengan liputan yang lebih baik, kawasan ini dapat menikmati rangkaian komunikasi lebih berkualiti, sekali gus menyumbang kepada keselesaan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Menara Telekomunikasi Ladang Diamond Jubilee, di Rim, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Pengarah MCMC Melaka, Syed Isa Shekh Alsagoof dan Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Dr. Nazdiana Ab Wahab.

Menurut Khaidhirah, selain Ladang Diamond Jubilee, tiga lagi menara telekomunikasi akan dibina di Mukim Rim pada tahun ini, sekali gus akan meluaskan capaian jalur lebar yang memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk.

“Pembinaan menara ini merupakan mercu kejayaan di DUN Rim dengan kerjasama Melaka ICT Holding Sdn Bhd (MICTH), MCMC dan juga syarikat telco yang terbabit.

“Tiga lagi menara telekomunikasi yang bakal dibina di dalam mukim ini iaitu di Kampung Chenderah, Seri Kesang dan Hospital Jasin yang mana ketiga-tiga ini dijangka akan siap pada Julai depan.

“Selepas ini diharap tiada lagi masalah atau isu berhubung capaian jalur lebar yang tidak cukup ataupun tidak sampai sehingga merencatkan aktiviti penduduk,” katanya.

Jelasnya, dengan kemudahan capaian jalur lebar ini ia secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesihatan yang lebih baik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

624
Kongsi :
Previous post MPHTJ GEMPUR PENIAGA WARGA ASING
Next post ‘SAUDARA BAHARU’ TERUJA KEMERIAHAN SUASANA AIDILFITRI