Sorting by

×

‘RAPAT UMUM BAHTERA MERDEKA’ BAWA ORANG MELAKA KEMBALI BERNOSTALGIA

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

BANDA HILIR 20 Februari – Bagaikan kembali ke era 50-an, itu yang dapat disimpulkan menerusi program Rapat Umum Bahtera Merdeka di hadapan Muzium Belia, di sini, malam ini.

Rata-rata pengunjung yang hadir kelihatan segak berpakaian gaya ‘orang lama’ dengan busana kemeja putih dan berseluar hitam bagi meraikan ulang tahun ke-69 Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu.

Majlis penuh gilang-gemilang itu dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, majlis itu dimulakan dengan perarakan orang ramai yang seakan mengembalikan detik pengisytiharan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal 20 Februari 1956.

Tetamu yang hadir kemudian dihiburkan dengan persembahan selamat datang menerusi lagu ikonik, Senandung Anak Melaka dendangan Yasser Fikri dan disusuli sketsa ringkas menceritakan semula detik Tunku Abdul Rahman mahu menuntut kemerdekaan negara.

Selepas itu, Ketua Menteri mengambil tempat dengan menyampaikan ucapan penuh semangat selama kira-kira 20 minit dan diteruskan dengan gimik perasmian iaitu lakonan semula serahan ‘Derma Merdeka’ di atas kain putih bagi membantu Tunku Abdul Rahman terbang ke Kota London bagi menuntut kemerdekaan negara.

Malam gemilang itu diteruskan dengan beberapa persembahan menarik seperti deklamasi puisi, persembahan teater muzikal dan bermacam-macam lagi persembahan seni dan budaya.

Persembahan istimewa itu dibawakan khas bersempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu yang kini diangkat sebagai cuti umum baharu Negeri Melaka bagi tahun kedua.

Terdahulu, pada sebelah pagi, sebanyak 13 produk pelancongan telah menawarkan kemasukan percuma kepada pengunjung dan pelancong warganegara Malaysia.

13 lokasi itu adalah Melaka River Cruise; Menara Taming Sari; muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM); Zoo Melaka dan Kompleks Air Panas Gadek.

Selain itu, ia turut membabitkan Melaka Wonderland Theme Park; A’Famosa Water World; Air Panas Cherana Putih; Muzium Penjara Malaysia Melaka; Balai Cerap Al-Khawarizmi; Melaka River Park; lima kelab golf di Melaka dan Jom Membatik @ Kompleks Kraf Melaka.

Difahamkan setakat 5 petang tadi, lebih 60,000 pengunjung telah menikmati kemasukan percuma ke tempat pelancongan yang disenaraikan.

Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk dua lagi lokasi pelancongan yang masih menawarkan kemasukan percuma hingga malam iaitu Air Panas Gadek dan Air Panas Cherana Putih.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

215
Kongsi :
Previous post MASUK PERCUMA KE LIMA KELAB GOLF LENGKAPKAN SAMBUTAN 20 FEBRUARI
Next post MELAKA MAHU ANAK MUDA HAYATI KISAH DI SEBALIK RUNTUHNYA SEBUAH KOTA