Rangka kerja pelestarian plastik Malaysia 2021-2030 dilancar
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata rangka kerja yang akan dilaksanakan secara tiga fasa itu merupakan kompas kepada pemegang taruh dalam melestarikan plastik berkonsepkan ekonomi kitaran di sepanjang rantaian nilai.
Rangka kerja itu merupakan satu daripada tindakan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tahun 2018.
“Ia juga merupakan pelengkap kepada inisiatif ekonomi kitaran sisa pepejal yang dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Kami optimis pelaksanaan konsep ekonomi kitaran akan mengurangkan impak pencemaran plastik terhadap alam sekitar,” katanya dalam majlis pelancaran rangka kerja itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Tuan Ibrahim berkata peluasan Skim Tanggungjawab Pengeluar (EPR) merupakan elemen penting dalam rangka kerja itu yang akan mengubah ekosistem pengurusan sisa plastik tempatan.
Di bawah skim EPR, pengeluar bukan sahaja bertanggungjawab untuk merawat dan melupuskan sisa plastik yang telah dipasarkan oleh jenama masing-masing, sebaliknya perlu mengambil kira komponen reka bentuk serta penggunaan resin kitar semula.
“Skim EPR ini akan dilaksanakan secara sukarela dengan mengambil kira kesediaan industri, sebelum dijadikan mandatori bermula selewat-lewatnya tahun 2026,” katanya.
Bagi merealisasikan rangka kerja itu, beliau berkata penggunaan botol plastik di majlis-majlis rasmi kerajaan telah mula dikurangkan dan digantikan dengan alternatif lain seperti botol kaca.
“Bermula seawal pembentukan kerajaan baharu, Kabinet setuju dengan cadangan ini dan kini ia diperluaskan semasa mesyuarat penting exco dan kerajaan negeri,” katanya.
Pada majlis pelancaran itu Tuan Ibrahim turut melancarkan buku bertajuk ‘Bersama Memakmur Bumi’ terbitan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Katanya buku itu diterbitkan bagi memberi panduan kepada semua pihak berkenaan dasar-dasar utama dan inisiatif dalam pengurusan alam sekitar dan air negara yang telah digerakkan oleh KASA sejak ditubuhkan pada tahun 2020. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.