Rangka dipercayai orang hilang 10 bulan lalu ditemukan
KUANTAN, 23 Julai – Polis menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir 10 bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas semasa dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi tadi.
“Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat yang diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Siasatan awal terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zaidi berkata rangka mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat manakala kenderaan itu ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.
Pada 30 Okt tahun lepas, seorang wanita Asmawati Kadir, 55, membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya Muhammad Iman Aqmar, 24, yang didakwa gagal dihubungi selepas keluar rumah di Johor sekitar 1 pagi, 29 Okt 2021 untuk ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.
Semasa itu, Muhammad Iman Aqmar dikatakan memandu kereta Nissan Grand Livina seorang diri dan ahli keluarganya memuat naik gambar mangsa serta kereta itu di media sosial bagi meminta bantuan orang awam mencarinya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.