Sorting by

×

Rang undang-undang gangguan seksual dijangka siap Mac

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Rang undang-undang berkaitan gangguan seksual dijangka siap Mac ini dan dijangka akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, draf rang undang-undang itu, kini pada peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Peguam Negara.

“Draf telah hantar ke AGC (Jabatan Peguam Negara) untuk menilai jika ada pindaan-pindaan kecil…bersidang sahaja parlimen nanti, kita akan bentangkan.

“Dalam masa sama, usaha-usaha kesedaran dan pendidikan tentang gangguan seksual terus digerakkan oleh semua agensi di bawah kementerian ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat rujukan khidmat sosial golongan gelandangan, Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu, malam ini.

Rina turut memberi jaminan rang undang-undang itu nanti akan bersifat holistik dalam membendung isu berkaitan gangguan seksual yang tidak terhad terhadap gangguan di tempat kerja semata-mata.

Beliau berkata demikian mengulas desakan beberapa pihak termasuk bekas menteri kementerian itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mempercepatkan pembentangan rang undang-undang tersebut.

Desakan itu berikutan terdapat dakwaan insiden gangguan seksual baru-baru ini melibatkan anggota polis.

Persidangan Parlimen yang sepatutnya bermula bulan hadapan, telah ditangguhkan susulan pengisytiharaan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari sehingga 1 Ogos tahun ini.

Terdahulu juga pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan mahu kerajaan mewujudkan akta khusus menangani masalah gangguan seksual bagi memudahkan mangsa mendapat bantuan untuk menghentikannya termasuk di tempat kerja.

Views:

275
Kongsi :
Previous post Pengusaha hotel rebut peluang tarik pengunjung, tawar makan malam Hari Kekasih
Next post Polis akan rakam keterangan Annuar Musa berhubung dakwaan langgar SOP
Ubah saiz-+=