Rancangan kerajaan percepat pelaksanaan Borneonisasi antara fokus Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Perancangan kerajaan Persekutuan dalam mempercepatkan pelaksanaan Borneonisasi selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 antara yang dijangka menarik perhatian pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, soalan itu akan dikemukakan Jugah Anak Muyang (Bebas-Lubok Antu) kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri. Beliau juga ingin tahu mengenai jumlah pegawai dari Sabah dan Sarawak yang memegang jawatan Ketua Jabatan dan Jabatan Persekutuan di kedua-dua negeri itu.
Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) kepada Menteri Pengajian Tinggi berkaitan inisiatif pengajian sepanjang hayat melalui kaedah Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Shamsul Iskandar juga ingin tahu sejauh mana pengiktirafan diberikan kepada individu yang mengambil jalur itu untuk mendapat ijazah sarjana dan kedoktoran.
Pada sesi soal jawab pula, Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk menyemak semula harga minyak di pam memandangkan harga minyak mentah meningkat ke USD95 setong (harga Brent pada 7 Feb lepas).
Amiruddin juga bertanyakan jumlah subsidi yang perlu ditanggung jika harga tidak disemak serta pendapatan tambahan kerajaan dengan kenaikan harga minyak mentah itu.
Selesai sesi tersebut, persidangan bersambung dengan pembentangan bacaan kali pertama melibatkan Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang kesemuanya dijangka dikemukakan Menteri Sumber Manusia.
Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi pembentangan untuk bacaan kali kedua bagi Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022.
Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14 berakhir hari ini setelah 16 hari bersidang.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.