Rancang bina lima balai bomba baharu
BUKIT KATIL 17 Februari – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka sudah melakukan permohonan untuk membina lima lagi balai bomba baharu di negeri ini.
Timbalan Pengarah JBPM Melaka, R. Iswandy R. Hassan berkata, perancangan itu perlu bagi meningkatkan lagi mutu kecekapan perkhidmatan dan memendekkan tempoh tindak balas bagi kes kecemasan.
Berkongsi perkembangan itu R. Iswandy berkata, antara lokasi pembinaan balai bomba baharu yang dicadangkan adalah di Lubok China, Masjid Tanah, Selandar, Asahan dan Banda Hilir, Melaka Tengah.
“Bagi tiga lokasi dinyatakan, cadangan itu sedang dalam tindakan semakan bagi kelulusan oleh kerajaan, insya-Allah kita akan cuba sedaya upaya supaya setiap tahun bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat orang Melaka.
“Cadangan ini adalah berdasarkan kepada perkadaran kawasan ruang kebombaan (fire cover),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tahunan JBPM Melaka 2024 diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, di sini, semalam.
Beliau berkata, JPBM Melaka juga memendekkan tempoh tindak balas bagi panggilan kecemasan dari 10 minit kepada 9 minit 30 saat.
“Selain itu bagi memastikan kecekapan khususnya di lokasi yang jauh kita akan tubuhkan Bomba Komuniti atau Bomba Sukarela bersama rakan kolaborasi untuk membantu jabatan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.