Ramai tidak tahu manfaat Elaun Mencari Kerja
ASAHAN 29 Mac – Masih ramai golongan pencari kerja tidak mengetahui mereka layak menikmati Elaun Mencari Kerja yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah PERKESO negeri, Abd Razak Omar berkata, ini memandangkan mereka beranggapan insentif tersebut hanya dikhususkan kepada pencarum PERKESO.
Menurutnya, kekeliruan itu menyebabkan ramai dalam kalangan golongan tersebut tidak mengemukakan permohonan mendapatkan Elaun Mencari Kerja.
“Sedangkan mana-mana pencari kerja yang telah diberhentikan kerja layak mendapatkan elaun ini mengikut syarat ditetapkan.
“Malah bermula tahun ini, graduan juga boleh memohon elaun tersebut yang dibuka sehingga Dis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Mini Karnival Jamin Kerja Asahan 2022 dan program Outreach Kerjaya negeri yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan, di Pusat Komuniti Desa Asahan 26 Mac lalu.
Menurutnya, Elaun Mencari Kerja akan terus dibayar kepada mereka yang telah berdaftar dengan PERKESO dan melakukan temuduga kerja walaupun gagal mendapat pekerjaan tersebut.
“Selepas daftar dengan PERKESO, mereka perlu menghadiri tiga temuduga kerja, mereka boleh datang ke karnival kerja yang disediakan dan sertai temuduga.
“Bukan sahaja kita sediakan temuduga, kita bayar juga Elaun Mencari Kerja kepada mereka, saya harap golongan ini tidak mensia-sia manfaat ini,” katanya.
Sementara itu pada perkembangan yang sama, menurut Abd Razak, sebanyak 93,631 kekosongan jawatan dari 1,589 majikan di negeri ini sejak Jan tahun lalu di bawah program Myfutureb Jobs.
Sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 29,546 bilangan pencari kerja yang dikenal pasti dan 9,270 orang telah berjaya mendapat pekerjaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.