Sorting by

×

‘RAMAI SAYANG SUMAYYAH’, BAPA UCAP TERIMA KASIH KEPADA PENYUMBANG

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KESIDANG 9 Mac – “Hanya ucapan terima kasih tidak terhingga yang mampu saya katakan kepada setiap penyumbang walaupun hanya RM1 sahaja tetapi besar nilainya untuk kami,” itu kata Azroyhatta Md Jais.

Azroyhatta, 35, adalah bapa kepada Nur Sumayyah, 7, yang menghidap kanser saraf atau neuroblastoma.

Menurut Azroyhatta, dia dan isteri Shakila Silah, 36, amat terkejut apabila mendapati jumlah diperlukan sebanyak RM344,844 untuk membeli ubat bagi rawatan kanser anaknya itu berjaya dikumpul dalam tempoh tidak sampai satu bulan.

Katanya, sumbangan diperlukannya itu sebelum ini diuar-uarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin, lalu mendapat perhatian ramai pihak.

“Memang tidak sangka nilai kutipan itu akan cukup dalam masa yang singkat, semalam apabila melihat mengemaskini akaun bank saya terkejut melihat jumlah RM344,844.

“Selain rasa syukur, hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu perasaan ketika itu malah terasa hilang beban ditanggung kerana sebelum ini, siang dan malam kami suami isteri memikirkan bagaimana hendak cukup duit itu.

“Bimbang nilai kutipan akan terus bertambah saya terus memaklumkan kepada YB Helmy dan YB Allex bahawa jumlah diperlukan berjaya dikumpul. Saya risau kerana itu adalah duit orang dan amanah untuk saya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Menurut juruteknik kilang itu, selain sumbangan wang tunai, dia juga tidak henti-henti menerima Whatsapp yang bertanya dan mendoakan kesihatan buat anak tunggalnya itu.

“Alhamdulillah, isteri pun nampak perubahan apabila kelihatan ceria tidak seperti sebelum ini dan harapan kami semoga kesihatan anak baik dan stabil kerana bermula esok dia perlu menjalani kimoterapi lanjutan iaitu ‘ICE Chemotherapy’.

“Sekiranya semuanya baik, ubat untuk anak dapat dibeli seawal September depan. Sesungguhnya sebagai seorang bapa saya amat terharu dengan keprihatinan dan sokongan ini, tidak dapat saya membalas jasa baik kalian.

“Saya sebolehnya mahu tunaikan hasrat anak yang mahu kembali ke sekolah dan berjumpa rakan-rakan serta menjalani kehidupan seperti anak yang seusia dengannya,” katanya.

Jelasnya, pada awalnya dia berjumpa dengan Adun Duyong dan Adun Kesidang hanya untuk mendapatkan surat sokongan untuk dibawa ke Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ternyata urusannya dipermudahkan.

“Bagi saya ini juga berkat bulan Ramadan yang mulia dan terima kasih buat kedua-dua YB ini serta penyumbang termasuk juga media yang turut membantu hanya Allah S.W.T dapat membantu budi baik kalian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post BAZAR IKONIK REKOD 20,000 PENGUNJUNG DALAM LAPAN HARI
Next post MPAG INGATKAN PENIAGA JAGA KEBERSIHAN