Sorting by

×

Ramai pasangan kahwin muda di Melaka bercerai, terbabit keganasan rumah tangga

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BUKIT KATIL 6 Mac – Berkahwin di usia muda dilihat menjadi antara faktor berlakunya keganasan rumah tangga dan menyumbang kepada statistik penceraian di Melaka.

EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata selain itu sikap panas baran, tidak mampu mengawal emosi juga antara punca keretakan rumah tangga yang dilihat semakin menjadi-jadi.

Katanya, jika dilihat daripada statistik sepanjang tahun lalu, secara keseluruhan sebanyak 242 kes penceraian direkodkan di negeri ini.

“Penceraian dari segi keganasan rumah tangga saya lihat kian menjadi-jadi. Panas baran mungkin disebabkan ekonomi tidak menentu, cemburu antara faktor keganasan rumah tangga dan punca penceraian.

“Jadi, genap 105 hari (hari ini) saya bergelar EXCO, saya lihat pelbagai punca dan faktor yang berlaku saban hari, cuma saya nak ingatkan, di peringkat kerajaan, kita ada menyediakan rumah perlindungan buat mereka yang terkesan dalam keganasan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Pasca Perkahwinan Cinta Penghujung Senja di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat.

Kalsom berkata, kurang didikan agama dan ilmu asas rumah tangga juga antara sebab utama institusi kekeluargaan itu punah.

Justeru, ujarnya, kerajaan negeri bersama agensi kerajaan berkaitan akan merancang beberapa program berkaitan institusi kekeluargaan Islam khusus untuk pelbagai peringkat.

“Institusi kekeluargaan Islam itu bila dalam keluarga sendiri harus dipupuk seawal-awal yang boleh.

“Jadi di sini apabila saya cakap dengan JAIM kita harus adakan lebih banyak ilmu-ilmu agama, ceramah-ceramah bersama ibu bapa bagi membendung gejala tidak sihat seperti penceraian dan keganasan rumah tangga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati golongan wanita yang terbabit dengan kes keganasan rumah tangga agar berani tampil membuat laporan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2211
Kongsi :
Previous post Melaka benarkan solat Tarawih di semua masjid, surau
Next post Pengkalan Balak kembali jadi destinasi pilihan hujung minggu
Ubah saiz-+=