Ramai murid tidak kenal jawi, mengaji al-Quran
BANDARAYA MELAKA 24 April – Masih ramai dalam kalangan murid sekolah di negara ini masih tidak mengenali huruf jawi dan tidak mampu membaca al-Quran.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, keadaan itu tidak sepatutnya dibiarkan berlaku dan seharusnya diberi perhatian serius oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dan Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri.
Menurutnya, kegagalan generasi baharu ini menguasai ilmu jawi dan al-Quran dikhuatiri menyebabkan mereka tidak mampu mendirikan solat sebagaimana kewajipan yang dituntut dalam Islam.
“Saya mendapat maklum balas daripada masyarakat yang gusar tentang murid sekolah hari ini yang tidak mampu menulis jawi dan membaca Al-Quran.
“Malah menyebut bacaan al-Fatihah juga tidak lancar dan jika tidak boleh menyebutnya dengan baik bagaimana anak ini solat?
“Jadi, saya harap pihak yang berkaitan dalam soal ini agar dapat mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi permasalahan ini dengan segera,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana anjuran Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka di Masjid Selat di sini.
Kata beliau, pihak terbabit dicadangkan agar menyemak semula silibus pembelajaran Agama Islam berkaitan subjek jawi di sekolah dalam usaha meningkatkan penguasaan murid dalam ilmu tersebut.
“Kita mahu ianya dilihat semula dan balik seperti pembelajaran jawi satu ketika dulu dimana pihak sekolah mewajibkan murid menguasai atau lulus dalam subjek itu.
“Mengenali huruf jawi dan kemampuan membaca al-Quran itu wajib dan perlu ada pada setiap murid kerana jika tidak kenal huruf jawi, bagaimana boleh mengaji Quran,” katanya.
Kata beliau, usaha itu juga selaras dengan keperluan semasa iaitu membudayakan al-Quran dalam kehidupan pada hari ini yang agak terpesong dari keperluan agama Islam.
Sementara itu, Ketua Wanita Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, pihaknya mahu setiap wanita yang juga suri rumah dapat membudayakan bacaan al-Quran dalam keluarga masing-masing.
“Kita lihat pada hari ini sudah terlalu banyak masalah sosial dalam masyarakat berlaku dan sebagai jalan penyelesaiannya, kita perlulah kembali kepada ajaran Islam dan al-Quran,” ujarnya.
Selain itu mengulas mengenai penganjuran majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana, kata beliau, seramai 350 wanita mewakili 79 cawangan Parlimen Kota Melaka menyertai acara tersebut yang bermula sejak awal Ramadan lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.