Ramai kena tipu beli durian secara dalam talian
GEORGE TOWN, 7 Mei – Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan urusan jual beli durian secara dalam talian terutama menjelang musim raja buah itu di Pulau Pinang berikutan terdapat kes penipuan membabitkan kes tersebut.
Polis Daerah Timur Laut dalam satu kenyataan menerusi Facebook memaklumkan pihaknya mengesan peningkatan kes penipuan pembelian durian secara dalam talian di daerah itu yang dipercayai didalangi sindiket penipuan.
“Modus operandi sindiket itu ialah mereka akan mengiklankan penjualan durian dengan harga yang murah di media sosial antaranya Facebook dan Instagram.
“Mangsa yang tertarik dengan iklan tersebut akan berurusan dengan ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp berdasarkan nombor telefon yang tertera pada iklan itu dan mangsa kemudiannya diarahkan klik pada pautan yang diberikan dan memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’ untuk membuat bayaran,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, apabila mangsa klik pada pautan yang diberikan, ia akan membawa halaman yang menyerupai ‘FPX Transaction’ dan sebaik sahaja mangsa memasukkan ‘username’ dan kata laluan, sistem pembayaran tersebut akan tergendala.
Kenyataan itu memberitahu mangsa akan menerima mesej daripada pihak bank bahawa berlaku pemindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun pihak ketiga dalam jumlah yang tinggi daripada harga pembelian tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan agar jangan sesekali memuat turun sebarang aplikasi yang tidak pasti ketulenannya dan jangan mendedahkan username, kata laluan atau apa-apa maklumat perbankan kepada pihak ketiga,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata pihaknya menahan seorang lelaki kerana disyaki menyamar polis dan memeras ugut sepasang kekasih di kawasan pemandangan pendaratan pesawat di landasan kapal terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Beliau berkata lelaki berumur 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi di Jalan Kampung Perlis, Bayan Lepas dan polis merampas sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Dalam kejadian 3 Mei lepas, pasangan terbabit yang berada di kawasan pemandangan tersebut didatangi seorang lelaki menunggang sebuah motosikal yang mendakwa sebagai anggota polis Balai Bayan Lepas, suspek kemudiannya memeras ugut mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sama ada lelaki yang tidak bekerja itu turut terlibat dalam kejadian menyamar polis sebelum memeras ugut atau menyamun mangsa-mangsa lain.
Menurutnya, lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.