Sorting by

×

RAMADAN, SYAWAL TERINDAH BUAT NUR HAURA JANE

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KESIDANG 31 Mac – Pengalaman pertama kali berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberi pengalaman amat indah buat saudara baharu, Nur Haura Jane Impot, 33.

Wanita berasal dari Sarawak itu berkata, hasrat untuk mengucap syahadah sudah lama ada namun dia belum mempunyai kekuatan sehinggalah segalanya terungkap pada 6 Januari lalu.

Katanya, pergaulan dengan orang Islam khususnya ibu saudara dan sepupu membuatkan ‘terbitnya’ perasaan sayang kepada agama Islam.

“Sejujurnya banyak hal berkaitan agama Islam yang membuatkan saya ingin menjadi Muslim dan jatuh hati termasuklah mempunyai kehidupan yang cukup teratur iaitu solat lima waktu.

“Apa yang pasti, saat melafazkan kalimah syahadah saya tidak dapat menahan sebak dan terasa seakan saya baru dilahirkan semula, bagaikan ‘bayi’.

“Malah, pengalaman paling menarik adalah berpuasa pada bulan Ramadan kerana pada siang hari saya perlu kuatkan diri untuk melawan lapar dan dahaga manakala pada sebelah malam pula dapat menunaikan solat tarawih beramai-ramai,” katanya.

Nur Haura Jane yang sebelum ini menetap di Nilai, Negeri Sembilan berkata, meskipun berdepan sedikit cabaran namun semua itu dianggapnya perkara biasa kerana selain perlu memahami Islam, banyak ilmu perlu dipelajarinya untuk menjadi muslimah sejati.

“Terlalu banyak perkara yang saya perlu belajar termasuklah cara solat dengan betul, membaca dan menghafal surah-surah lazim serta perkara fardhu ain yang lain.

“Perubahan ketara dalam diri adalah ketika awal memeluk Islam apabila perlu solat lima waktu kerana saya belum tahu surah mahupun sebutan yang perlu dibaca dalam solat.

“Namun saya cuba bertenang dan memberi ruang kepada diri sendiri kerana saya tidak mahu akan timbul perasaan menyesal. Sebagai ‘baby’ baru saya perlu bermula dari bawah, langkah demi langkah,” katanya.

6239899861575124906
NUR Haura Jane. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Dia yang kini tinggal di Asrama Balai Islam, Kompleks Darul Huda, amat berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kerana menyediakan tempat tinggal sementara kepadanya selain menyediakan kelas bimbingan kepada saudara baharu seperti dirinya.

“Di Balai Islam, kami saudara baharu disediakan kelas dan program untuk kami belajar dan memahami Islam dengan lebih mendalam. Kami dibimbing dengan sebaiknya.

“Malah sepanjang bulan Ramadan juga kami dapat solat tarawih bersama-sama malah tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri kerana ingin merasai suasana di pagi Syawal,” katanya.

Jelasnya, dia bersyukur kerana keputusan untuk memeluk agama Islam tidak mendapat tentangan keluarga, malah mereka menghormati keputusannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

561
Kongsi :
Previous post PENIAGA BAZAR IKONIK BANDA HILIR UCAP TERIMA KASIH KEPADA KETUA MENTERI
Next post ‘BAKSO TIPAH’ JUADAH ISTIMEWA AIDILFITRI KAMPUNG ORANG ASLI BUKIT PAYUNG