Ramadan, Syawal di Melaka sungguh meriah

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

ALOR GAJAH 13 April – Kemeriahan suasana Ramadan dan Syawal di Melaka begitu dirasai, Prebet (PA) Christin Fairon, 41.

Anggota baharu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka itu mengakui teruja apabila buat julung kali dapat menyertai gotong-royong menyediakan juadah hari raya seperti lemang dan rendang.

Malah, dia yang memeluk Islam pada 2014, turut mengakui aktiviti secara beramai-ramai seumpamanya bukan sahaja menambah kemeriahan sambutan hari raya, bahkan mampu mengeratkan ikatan silaturahim.

“Saya sudah hampir 20 tahun saya tak campur orang ramai sebegini, jadi memang rasa seronok dan teruja dapat berkumpul beramai-ramai untuk masak serta makan bersama.

“Di kampung saya di Keningau, Sabah ada masakan rendang, ketupat dan lemang, tapi susah untuk merasai suasana puasa dan Hari Raya kerana keluarga saya semuanya beragama Kristian,” katanya yang menyertai APM pada 1 November 2023.

Img 20240412 Wa0092
CHRISTIN ketika membantu memasak juadah rendang.

Dia ditemui pada Majlis Iftar Ramadan Peringkat APM Daerah Alor Gajah 2024, baru-baru ini.

Menariknya, semua anggota terlibat memainkan peranan dalam aktiviti gotong-royong itu seperti mencari kayu api, buluh lemang, memasang khemah sehingga kepada memasak bermacam jenis juadah termasuk rendang ayam, lemang dan dodol.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Mohd Ridhwan Latip berkata, tradisi gotong-royong diadakan itu sekali gus mewujudkan kerjasama erat antara pegawai dan anggota.

“Sikap bekerjasama dan semangat berpasukan sebegini yang kita ingin terapkan antara pegawai dan anggota bukan hanya dalam melaksanakan tugas hakiki.

“Melalui majlis iftar ini juga dapat mengharmonikan hubungan dan sikap saling menghormati antara sesama anggota mahupun pegawai. Terima kasih kepada semua yang terbabit mengadakan majlis ini dengan jayanya,” katanya.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pengarah APM Negeri Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim dan turut dihadiri timbalannya, Mejar (PA) Nor Farhani Mat Husin dan Ketua Bahagian Operasi, Latihan dan Angkatan APM Melaka, Kapten (PA) Aljibin Suddin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post Melaka peruntuk RM100,000 pulihara ‘villa’ satu abad
Next post TMM2024: 4 buah kereta menanti pemenang bertuah bulan ini
Ubah saiz-+=