Ramadan sunyi tanpa Aliah Qistina
JASIN 27 Mac – “Sebagai ibu saya tidak akan berputus asa, selagi terdaya, saya akan keluar dan ikhtiar untuk mencari Qistina. Tiada apa yang saya minta cuma harapan saya agar, dia pulang kembali ke pangkuan keluarga,” itu luah Noor Fatimahtul Zaharah Talib.
Noor Fatimahtul Zahrah, 41, merupakan ibu kepada remaja perempuan Aliah Qistina Budiyanto, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Maju, Jasin, sejak 10 hari lalu.
Kehilangan anak sulung dari dua beradik itu disedari ibunya kira-kira jam 12 tengah malam, Jumaat lalu selepas mendapati anaknya itu tiada di bilik tidur selain pintu dapur kediaman mereka terbuka.
“Sebelum ini kami berempat termasuk emak menonton televisyen dan tidak lama kemudian saya terlelap sebelum terjaga apabila terhidu bau yang amat wangi. Tidak lama selepas itu saya perasaan pintu bahagian dapur terbuka luas dan menyangkakan rumah dirompak.
“Apabila menjengah ke bilik Qistina, saya dapati dia tiada di biliknya. Saya kemudian kejutkan suami sebelum dia bergegas keluar mencari anak di sekitar taman namun tidak menemui. Meskipun tahu laporan tidak boleh dibuat kerana belum cukup 24 jam tetapi kami tetap ke balai polis dan maklumkan.
“Walaupun sudah masuk hari ke 10 namun tiada sebarang berita diterima dan Qistina juga masih tidak pulang. Setiap hari tanpa gagal saya tetap keluar mencarinya di kawasan sekitar termasuk menampal serta mengagihkan posternya kepada orang awam dengan harapan akan ada maklumat tentang keberadaannya,” katanya ketika ditemui dirumahnya, hari ini.
Menurutnya, apa yang membuatkannya hiba apabila kehilangan anaknya itu terjadi di saat umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan serta sesi persekolahan yang baru bermula.
Katanya, tidurnya kini tidak lagi lena seperti dahulu apabila kerap bertemankan telefon untuk menunggu perkhabaran tentang Qistina.
“Sebagai ibu sudah pasti saya terfikir akan keadaannya sekarang ini, puasakah dia, makan atau tidak, pelbagai persoalan. Malah sambutan Ramadan kali ini juga tidak seperti sebelum ini apa yang menyedihkan apabila teringat akan masakan kegemarannya yang gemar asam laksa dan daging masak kicap.
“Tolonglah saya merayu dan meminta tolong agar orang ramai untuk sama-sama membantu membaca yasin dan lakukan solat hajat agar Qistina dapat dijumpai atau dipulangkan dengan selamat.
“Saya dan suami terfikir tiada alasan untuk Qistina keluar rumah kerana kami tiada konflik selain dia keluar rumah tanpa membawa telefon bimbit, dompet dan juga kad pengenalannya,” katanya.
Ujar Noor Fatimahtul Zahrah, selain itu saya juga berharap agar orang ramai atau netizen tidak membuat sebarang spekulasi kononnya Qistina hilang mengikut lelaki kerana dia sekeluarga lebih mengenali anaknya yang tidak gemar bersosial itu.
“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat atau terjumpa dengan Qistina bolehlah hubungi saya di talian 011-27099060,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.