Sorting by

×

RAMADAN: MELAKA SARAN UTAMAKAN IMAM TEMPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Mac – Masjid dan surau di Melaka disaran menggunakan khidmat imam tempatan untuk solat jemaah dan tarawih sepanjang Ramadan.

Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, kemasukan imam luar ke Melaka dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Kita mengutamakan imam tempatan kerana bagi saya secara peribadi kita mempunyai ramai para hafiz muda yang sedang belajar ada di peringkat diploma mahupun ijazah di dalam dan luar negara.

“Mereka ini mempunyai pengkhususan dalam penghafazan al-Quran, jadi kita manfaatkanlah ilmu anak tempatan ini untuk memimpin ahli kariah selain mereka lebih memahami budaya kita,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1446H/2025M di Balai Cerap Al-Khawarizmi, di sini, pada Jumaat.

Majlis cerapan itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco dan Timbalan Exco serta kenamaan lain.

Menurut Abdul Halim, bagi masjid yang ingin menjemput imam dari luar, pihak terbabit perlu memenuhi syarat permohonan ditetapkan termasuk mengemukakan permohonan.

“Kita menetapkan mesti ada syarat permohonan dan mengemukakan nama ini untuk memastikan imam yang dipanggil atau dijemput mendapat kebenaran selain masuk ke Malaysia secara sah.

“Untuk Ramadan ini kita ada menerima permohonan daripada beberapa buah masjid untuk mengambil imam dari luar Melaka termasuk luar Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post TERPESONA SUASANA KAMPUNG DI MACHAP JAYA
Next post TUJUH SEKELUARGA NYARIS MAUT, KERETA LANGGAR TIANG ELEKTRIK