Ramadan Maidatur Rahman kongsi rezeki dengan orang ramai

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 19 Mac – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Program Ramadan Maidatur Rahman bukan sahaja turun padang menyantuni golongan asnaf tetapi berkongsi rezeki dengan mengagihkan kit berbuka puasa dan sahur kepada orang ramai termasuk petugas agensi kerajaan.

Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, sepanjang ramadan ini beberapa aktiviti diaturkan oleh Bahagian Pembangunan Insan dengan menyasarkan tiga kumpulan asnaf besar iaitu Asnaf Al-Riqab, Asnaf Fisabilillah dan Asnaf Mualaf.

Katanya, pihaknya memperuntukkan antara 300 hingga 500 pek kit berbuka puasa dan sahur setiap hari untuk diagihkan kepada golongan asnaf serta orang ramai.

“Bermula awal Ramadan lalu kita sudah gerakkan Program Ramadan Maidatur Rahman ini yang mana kita bahagikan kepada tiga iaitu Program Ziarah Hospital, Edaran Kit Berbuka Puasa dan Program Singgah Sahur.

“Antara lokasi yang kita sudah edarkan adalah di sekitar Banda Hilir, Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan Melaka Sentral yang mana ia memberi manfaat kepada orang ramai, pengayuh beca dan juga penumpang serta pemandu bas.

“Malah untuk Program Singgah Sahur ia terbahagi kepada dua komponen iaitu singgah untuk menghantar juadah sahur ke beberapa premis agensi kerajaan seperti balai polis dan bomba manakala keduanya bersahur dan terdapat pengisian rohaniah.

“Untuk komponen kedua ini antara kita santuni adalah penghuni Rumah Kasih Tun Abdul Aziz, selain bersahur bersama kita turut adakah pengisian rohaniah bersama anak-anak di situ selain MAIM turut akan bersahur di rumah mualaf yang terpilih,” katanya.

Menurutnya, menerusi program yang diadakan ini ia bukan sahaja dapat menyantuni banyak pihak dan merapatkan ukhwah kakitangan MAIM bersama orang ramai malah secara tidak langsung membantu meringankan beban.

“Secara tidak langsung orang ramai khususnya dapat mengetahui bagaimana agihan zakat yang diterima diagihkan. Seperti ziarah ke hospital selain bertanya khabar kita turut menyumbangkan wan tunai dan cenderahati termasuk yang mengandungi kit penjagaan kesihatan serta kebersihan.

“Menerusi Program Ramadan Maidatur Rahman ini, MAIM juga akan menyantuni penghuni penjara bagi meraikan Ramadan bersama mereka meskipun terpisah disebalik tembok namun kita ingin dekati golongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post Evolusi Bazar Ramadan Masjid Tanah
Next post Kilang proses dedak diberi tempoh 10 hari bersih kawasan
Ubah saiz-+=