Rama-rama Asia Tenggara pupus menjelang 2100

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 23 Januari- Dianggarkan 50 peratus spesis rama-rama di Asia Tenggara termasuk dari Malaysia akan pupus menjelang tahun 2100.

Pengarah Teknikal Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata fakta itu berdasarkan kajian makmal yang dijalankan pihaknya.

Katanya bagi mengatasi kebimbangan itu, pihaknya giat membiakkan spesis rama-rama dikategorikan hampir pupus seperti Rama-Rama Kebangsaan, Rajah Brooke’s Birdwing atau nama saintifiknya Trogonoptera Brookiana.

“Kira-kira 77 tahun akan datang, lebih 50 peratus spesis-spesis rama-rama di Asia Tenggara akan pupus.

“Antara faktor utama yang menyumbang ke arah itu adalah kerana kepupusan rumbuhan perumah bagi rama-rama itu sendiri. Jadi di pusat konservasi rama-rama ini kami giat menanam pokok-pokok atau tanaman perumah di tanah seluas tujuh ekar di belakang taman ini.

“Sebagai contoh rama-rama spesis ‘Clipper’ yang telah pupus di Singapura berjaya dibiakkan dengan skala besar dan banyak di sini, hasil kajian selama 16 tahun yang kami jalankan,” katanya.

Mengulas lanjut, Gerard berkata Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka antara salah satu lokasi yang menjalankan aktiviti konservasi rama-rama yang diancam kepupusan.

photo_6229035969433155088_y
GERARD menunjukkan Rama-Rama Kebangsaan, Rajah Brooke’s Birdwing atau nama saintifiknya Trogonoptera Brookiana yang hampir pupus. Foto: MR. AZLI

Jelasnya, kajian demi kajian dijalankan pihaknya untuk membiakkan lebih 30 spesis rama-rama yang dilindungi kerana diancam kepupusan.

“Sukar untuk kita membuat kajian apabila tidak jumpa cara untuk biak rama-rama, kerana terdapat beberapa spesis rama-rama dalam taman ini yang pihak kita masih tidak dapat mencari tumbuhan perumahnya. Kebanyakan rama-rama yang hampir pupus ini bakal lenyap seiring dengan kepupusan pokok perumahnya.

“Salah satu sebab pengurangan populasi adalah berkemungkinan daripada eksploitasi secara tidak terkawal untuk dijual sebagai hadiah atau cenderahati.

“Selain itu, rama-rama ini juga menghadapi ancaman kehilangan habitat dan tumbuhan perumahnya akibat daripada aktiviti penerokaan hutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1944
Kongsi :
Previous post Duit RM40 pemberian terakhir anak buat bapa
Next post Jenazah dua beradik maut kemalangan di Kahang selamat dikebumikan
Ubah saiz-+=