Rakyat sokong pengambilan dos penggalak demi keselamatan diri
AYER KEROH 17 Dis- Rakyat di negeri ini menyokong malah teruja untuk mengambil dos penggalak demi keselamatan diri, tidak kurang juga yang bimbang akan kesan sampingan akibat pengambilan dos itu.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati rata-ratanya menyambut baik pengambilan dos penggalak itu demi kesihatan diri, terutama dengan kewujudan varian baharu COVID-19, Omricon.
Bagi seorang warga emas, Siti Kunju Amina Mohamad, 68 , berkata pengambilan dos penggalak itu disifatkan sebagai langkah pencegahan untuk individu berusia sepertinya.
“Bagi saya pengambilan dos penggalak ini perlu, ini kerana kerajaan mempunyai sebab tersendiri untuk mewajibkan individu 60 tahun keatas untuk ambil dan ini adalah langkah pencegahan oleh kerajaan.
“Banyak desas desus orang kata buruk pasal suntikan vaksin ini, namun pada saya penerimaan vaksin itu sendiri bergantung pada antibodi individu,,” kata ibu tunggal itu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam menyarankan semua penerima dos lengkap vaksin COVID-19, Sinovac yang berusia 18 tahun ke atas dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas akan ditukarkan menjadi tidak lengkap sekiranya tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas Februari tahun depan.
Sementara itu, nada sama disuarakan oleh seorang lagi warga emas, Kasinah Mohd Salleh, 61, yang memandang langkah kerajaan mewajibkan pengambilan itu sebagai langkah terbaik.
Ujarnya, dengan keadaan kehadiran varian yang semakin berbahaya, suntikan dos penggalak itu disifatkan sebagai ikhtiar membendung penularan COVID-19.
“Bagi saya suntikan dos penggalak ini perlu, peelu untuk dibayar, saya akan bayar, kerana ini melibatkan nyawa.
“Keadaan sekarang, sangat bahaya, Memang dah sepatutnya kita ambil walaupun berbayar, jadi kita sebagai rakyat Malaysia yang dah umur 60 ke atas ni janganlah pentingkan diri, memang kena ambil,” katanya.
Walaubagaimanapun, bagi seorang pelajar IPTA, Nur Liyana Hazwani Hazimin, 23 meluahkan rasa bimbang dan takut akan kesan sampingan yang terjadi daripada pengambilan dos penggalak itu.
Liyana bagaimanapun berharap, kerajaan perlu meneliti semula dan melaksanakan saringan kesihatan kepada golongan yang berisiko sebelum mewajibkan dos ketiga itu.
“Bagi saya macam risaulah sebab ayah saya sendiri ada masalah jantung, hari itu walaupun dia dah cukup dua dos tapi dia still positif COVID-19.
“Kerajaan perlulah membuat saringan dahulu sebelum memberi dos penggalak dan tidak perlu mewajibkan kepada semua orang kerana penerimaan antibodi berbeza-beza,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.