Rakyat perlu jujur dengan ujian kit kendiri COVID-19

Masa Membaca:3 Minit, 18 Saat

Oleh Mohd Zaini Othman

Berkuatkuasa 1 Mac lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melonggarkan lagi prosedur pengurusan kes positif dan kontak rapat kes COVID-19 yang berdasarkan kepada status vaksinasi COVID-19 yang telah diterima atau belum oleh individu berkenaan.

Bagi kes positif, individu yang telah lengkap menerima dos penggalak dan lengkap vaksinasi perlu menjalani isolasi tujuh hari sahaja manakala yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi, perlu menjalani tempoh 10 hari isolasi.

Bagi individu yang menjadi kontak rapat, perlu menjalani isolasi atau tidak dan tempoh masa isolasi tersebut bergantung kepada status vaksinasi dan mengalami gejala ataupun tidak.

Apa yang penting sama ada individu berkenaan positif kes COVID-19 atau hanya kontak rapat, perlu mengemaskini status masing-masing di aplikasi mySejahtera.

Sehingga 13 Mac lalu, negara sudah mencatat kumulatif 3,823,571 kes positif COVID-19 3,468,888 kes sembuh dan 33,807 jumlah kematian direkodkan.

Selain vaksinasi, penjualan pelbagai jenis kit ujian kendiri COVID-19 yang berada di pasaran secara tidak langsung membantu dalam mengawal penularan lebih awal.

Kita semua boleh membuat ujian kendiri pada bila-bila masa saja, tidak terhad lagi di hospital dan klinik di bawah KKM atau fasiliti swasta seperti di awal-awal penularan pandemik ini dahulu.

Dengan adanya kit ujian kendiri yang menggunakan kaedah sampel dari air liur atau calitan di dalam rongga hidung, ia sememangnya memudahkan masyarakat untuk mengetahui status diri sendiri apabila bergejala dan menjadi kontak rapat.

Cumanya yang dibimbangi sekiranya ujian kendiri adalah positif COVID-19, apakah yang akan berlaku selepas itu? Inilah yang amat penulis takutkan kerana tiada pihak berkuasa berwajib yang mengetahui status individu berkenaan.

Ini memandangkan pada peringkat ini hanya individu tersebut yang mengetahui status diri masing-masing yang merupakan seorang pembawa virus COVID-19 atau berpotensi menjadi pembawa dan penyebar COVID-19.

Justeru pada peringkat inilah penulis melihat ia menuntut kepada sikap tanggungjawab yang tinggi dan jujur oleh mereka yang berstatus positif dan kontak rapat untuk ‘melaporkan’ dengan sukarela di mySejahtera dan seterusnya menjalani isolasi dan prosedur lain yang telah ditetapkan KKM.

Tanpa menidakkan keberangkalian pasti ada segelintir yang tidak bertanggungjawab serta tidak jujur apabila mengambil sikap berdiam diri dengan tidak melaporkan bahawa dirinya seorang yang positif COVID-19 dan kontak rapat.

Lebih dikesali, mereka ini tanpa rasa bersalah menjalani rutin kehidupan seperti biasa dan berinteraksi secara bebas dengan masyarakat. Dari sinilah virus tersebut mula tersebar tanpa disedari dan terus menjangkiti seorang demi seorang. Golongan seperti inilah yang menjadikan pengawalan penularan jangkitan COVID-19 akan gagal!

Tambahan pula kurang sebulan lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan dan diikuti meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, pastinya sambutan kali ini lebih bermakna kerana dapat merasai nikmat meraikannya bersama ayah dan bonda serta ahli keluarga besar yang lain di kampung halaman.

Mahukah kita menjadi penyebar virus merbahaya ini kepada ahli keluarga kita dek kerana sikap lalai, memandang enteng atau pentingkan diri sendiri?

Janganlah kita mensia-siakan jaminan yang telah diberikan Kerajaan dengan tidak akan melaksanakan sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah bagi meraikan Aidilfitri pada bulan Mei nanti.

Penulis amat bersetuju dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk orang ramai mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 khususnya umat Islam sebagai satu daripada ikhtiar untuk membendung jangkitan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pada masa yang sama, penulis juga mengesyorkan untuk umat Islam mengambil inisiatif melaksanakan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung halaman untuk menyambut Ramadan dan Syawal.

Nampak melecehkan tetapi ia mampu menyelamatkan nyawa orang yang kita sayangi, kata orang lebih baik mencegah sebelum terjadi, jangan sudah terhantuk baru hendah terngadah.

Kesimpulannya, penulis berpandangan, walau sebanyak manapun kelonggaran prosedur yang diberikan Kerajaan selepas ini, janganlah ia dijdikan alasan untuk kita melonggarkan disipilin kendiri sebagai ikhitiar dari dijangkiti virus ini atau menjadi penyebarnya, jadilah individu yang bertanggungjawab dan jujur untuk menang bersama melawan COVID-19. TAMAT

Catatan : Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1014
Kongsi :
Previous post UMNO tekad jadi pencetus perubahan politik untuk kekal relevan, disokong rakyat – Zahid
Next post Akta DBP dipinda untuk perkasa Bahasa Melayu – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=