Sorting by

×

Rakyat Melaka rafak sembah tahniah pertabalan Agong

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Rakyat Melaka pelbagai latar belakang merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, esok.

Rata-rata rakyat negeri ini turut mendoakan agar Seri Paduka Baginda dapat terus memayungi negara daripada sebarang ancaman yang boleh mengganggu gugat keharmonian, di samping memacu kejayaan lebih gemilang untuk negara.

Seorang penjawat awam negeri, Nurulhuda Mohd Yasin, 40 berkata, Sultan Ibrahim diyakini dapat memikul tanggungjawab sebagai Ketua Negara dengan lebih baik memandangkan Baginda merupakan seorang yang sangat teliti dalam sudut pentadbiran.

Katanya, Baginda juga diharap dapat terus memberi penekanan terhadap aspek kebajikan dan keharmonian negara sepanjang pemerintahannya.

“Sebagai rakyat Melaka, kita sangat berbangga kerana Yang di-Pertuan Agong beberapa kali mencemar duli ke negeri bersejarah ini dan ia menunjukkan bahawa Baginda seorang yang peka dan prihatin terhadap negeri-negeri di Malaysia.

“Kami merafak sembah di atas pertabalan ini dan berharap lebih banyak kejayaan dapat dilakar negara sepanjang tempoh ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rakyat Agong 3
NURULHUDA

Mohd Idzwan Baharin, 31, yang berasal dari Ayer Keroh pula menyifatkan Sultan Ibrahim sebagai raja berjiwa rakyat kerana sentiasa cakna dengan kebajikan rakyat, termasuk di Negeri Melaka.

Katanya, ia dapat dilihat pada keberangkatan rasmi Seri Paduka Baginda ke Negeri Melaka yang menyaksikan lebih 1,000 asnaf menerima kurniaan bakul makanan sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor.

“Ia jelas menunjukkan bahawa Baginda tidak hanya cakna kepada negara, bahkan kepada rakyat di negara ini.

“Sebagai rakyat jelata, kami mendoakan agar Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong dikurniakan kesihatan yang baik dan terus memastikan kesejahteraan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Siti Amirah Nadri, 31, yang merupakan anak jati Alor Gajah turut menyanjung tinggi kepimpinan Yang di-Pertuan Agong yang telah dua kali mencemar duli ke daerah Alor Gajah meskipun daerah itu dikategorikan sebagai kawasan luar bandar.

Katanya, lebih membanggakan apabila sebuah masjid di daerah berkenaan telah dimasyhur dengan nama Masjid Sultan Ibrahim, sekali gus menjadi yang pertama dimasyhur dengan nama Agong di negara ini.

“Saya antara jutaan rakyat Malaysia yakin dan percaya kepimpinan Baginda akan terus menjadi simbol perpaduan, lambang kestabilan dan kemegahan negara,” katanya.

Rakyat Agong 6
ALEEYA MAISARA

Sementara itu, seorang anak muda, Aleeya Maisara Mamat, 19, menyanjung tinggi ketegasan Baginda dalam mentadbir negara.

“Walaupun dikenali sebagai seorang yang tegas, namun ketegasan itu menjamin keharmonian dan kemajuan negara dan itulah yang paling penting untuk seorang Ketua Negara,” katanya yang juga penuntut sebuah kolej swasta di Ayer Keroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

238
Kongsi :
Previous post Saliran tersumbat punca banjir kilat di Lebuh SPA Gangsa
Next post Melaka negeri pertama perkenal ‘mini ambulans’
Ubah saiz-+=