
RAKYAT MELAKA PERLU HAYATI PRINSIP RUKUN NEGARA – TYT
SERI NEGERI 25 April – Penghayatan kepada prinsip Rukun Negara jelas merupakan kunci yang sentiasa perlu diingat dan dijadikan rujukan semua rakyat Melaka, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Jelas beliau, prinsip tersebut amat penting dan perlu dijadikan rujukan sepanjang masa demi kejayaan dan kestabilan Malaysia amnya dan Negeri Melaka khususnya.
“Dalam kita mengejar untuk memperkasa aspek perpaduan rakyat dan keharmonian kaum, amatlah penting bagi setiap warganegara untuk berpegang kepada ideologi negara iaitu Rukun Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.
Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali turut merakamkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana telah berjaya menganjurkan Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan pada setiap tahun sejak 2020.
Menurut beliau, sehingga tahun 2024, jumlah penyertaan keseluruhan peserta pertandingan yang telah direkodkan adalah seramai 9,198 orang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.